Sabah Perlukan 40 Lagi Balai Bomba Baharu, Kata Pengarah JBPM

1490

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mengambil kira kawasan Sabah yang cukup luas, negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 40 lagi balai bomba baharu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, penambahan balai itu perlu berikutan keadaan geografi dan landskap Sabah yang begitu unik berbanding Semenanjung Malaysia.

”Berdasarkan kajian menggunakan peta pintar (smart map) untuk mengenalpasti kawasan berisiko tinggi, Sabah memerlukan 40 lagi balai bomba di beberapa kawasan strategik dan berisiko tinggi.

”Penambahan balai itu akan membolehkan kita meningkatkan tempoh bertindak (response time) sehingga di bawah 10 minit, seperti dicatatkan di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Sabah, di sini pada Selasa.

KAMARULZAMAN MALIK ABDULLAH

Dengan keadaan semasa, bomba mengambil masa yang lama untuk sampai ke lokasi kejadian apabila berlakunya kecemasan.

Kamarulzaman berkata, untuk membina balai baharu memerlukan kos yang tinggi dan projek pembinaannya bergantung kepada peruntukan yang diberikan kerajaan.

Maka, langkah mengenalpasti beberapa inisiatif lain bagi meningkatkan tempoh bertindak seperti menambah bilangan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti (PBK).

Menurutnya, tempoh bertindak yang direkodkan JBPM pada masa kini adalah 17.5 minit berbanding 10 minit dan ke bawah yang dicatatkan di Kuala Lumpur.

”Namun, kita boleh meningkatkan response time kita apabila lebih banyak balai bomba dibina.

”Misalnya, dua balai bomba baharu masing-masing di Pitas dan Sook akan mula beroperasi pada tahun ini. Setelah mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, kedua-dua balai itu akhirnya bersedia untuk beroperasi,” ujarnya.

Kamarulzaman berkata, JBPM juga sedang merancang membina sebuah balai bomba di Putatan.

Dalam pada itu, JBPM Sabah juga akan menambah lebih banyak pasukan PBS dan PBK di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti di kawasan perumahan atas air yang sering berlaku kejadian kebakaran.

Buat masa ini, terdapat sebanyak 30 pasukan PBS dan 180 PBK diwujudkan di seluruh Sabah.