Sabah Perlu Wawasan Untuk Kesejahteraan Generasi Masa Depan – Musa

KOTA KINABALU: Apabila Datuk Seri Musa Aman dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah ke-14 pada 2003, beliau amat sedar tentang tanggungjawabnya merangka satu wawasan yang mampu membolehkan generasi masa depan negeri ini menikmati kehidupan lebih sejahtera.

Ketika menyampaikan Syarahan Ulung Kelab Rotary Kota Kinabalu (RCKK) di sini malam tadi (Ahad), Musa berkata dalam menunaikan peranan sebagai pemimpin, beliau bukan sahaja perlu bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat masa kini, tetapi juga generasi akan datang.

Musa Aman

Bagaimanapun, tegas beliau, tugas itu tidak mungkin terlaksana tanpa wujudnya kefahaman dan kesedaran tentang perjuangan bapa pengasas negara dan negeri ini.

“Pengetahuan tentang sejarah mengajar kita supaya menghargai pencapaian kita serta menunjukkan kepada kita arah tuju untuk masa depan.

“Selepas Perang Dunia Kedua dan kejatuhan mendadak ekonomi, lahirlah satu gerakan di seluruh dunia yang memperjuangkan agar kuasa penjajah memberi kemerdekaan dan kebebasan kepada tanah jajahan mereka daripada belenggu pemerintahan penjajah,” kata beliau, serta menjelaskan bahawa berikutan itulah lahirnya Malaysia pada 16 Sept 1963.

Musa berkata, berikutan pembentukan Malaysia lebih 52 tahun lepas, negara ini berdiri teguh di atas landasan rancangannya yang digubal dengan begitu teliti hingga mencapai kemajuan besar dalam banyak bidang.

Bagaimanapun, beliau mengaku terdapat sesetengah rakyat Malaysia di Sabah yang mengeluh bahawa negeri ini tidak mencapai kemajuan sehebat yang dinikmati negeri lain.

“Namun demikian, adalah suatu hakikat bahawa setelah masa berlalu, kita (Sabah) mencapai kemajuan dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan fizikal.

“Mereka yang berada di sini sejak beberapa tahun lepas boleh menjadi saksi tentang kemajuan yang kita capai dan kemampuan kita di Sabah ini dalam memelihara keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Mengenai keputusan beliau untuk menceburi bidang politik, Musa berkata beliau berbuat demikian dengan hasrat untuk memberi lebih banyak sumbangan bagi kemajuan Sabah setelah mencapai beberapa kejayaan sebagai ahli perniagaan.

“Ketika mula-mula menceburi bidang politik dulu, saya dapat melihat apa yang paling diperlukan Sabah ialah untuk maju dalam beberapa perkara dan yang paling mendesak daripada semua itu ialah pembinaan modal insan dan keupayaan, menyekat ketirisan ekonomi, mewujudkan industri baharu yang mempunyai nilai tambah, manakala keperluan paling utama ialah tadbir urus dan sistem penyampaian yang lebih baik agar rakyat kita dapat mencapai kemajuan secara sistematik dan koheran.

“Saya sendiri mendapati Sabah berdepan dengan beberapa isu asas ekonomi yang diwarisi sejak sekian lama serta menjadi bebanan besar bagi negeri ini.

“Setelah mengambil alih jawatan Ketua Menteri, saya dapat melihat dengan jelas bahawa Sabah perlu mempunyai arah tuju baharu dan satu model baharu ekonomi untuk membolehkannya bersaing dengan negeri lain di Malaysia dan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata kesedaran itulah yang mendorong beliau menggubal dan memperkenalkan “Halatuju”, satu pelan induk untuk mengemudi Sabah ke arah mencapai kemakmuran, yang turut meliputi sektor ekonomi di mana Sabah mempunyai kelebihan besar dari segi daya saing, iaitu sektor pelancongan, pertanian, pembuatan dan pembangunan modal insan.

“Seiring dengan Halatuju itu, saya laksanakan agenda pembangunan ekonomi dan pemupukan hubungan Negeri-Persekutuan, yang merupakan dua perkara yang amat penting bagi kemajuan ekonomi,” katanya.

Musa berkata beliau bersyukur kerana Malaysia mempunyai Perdana Menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa mendengar permohonan negeri ini seperti peruntukan lebih besar bagi memenuhi keperluan pembangunan sosioekonominya.

Hari ini, kata beliau, Sabah berada di landasan betul dan akan terus berkeadaan demikian sekiranya rakyat dan kerajaan negeri terus berpegang pada asas penting seperti keharmonian kaum dan tadbir urus baik.

“Seperti semua orang lain di Sabah ini, saya juga mahukan Sabah menjadi sebuah negeri yang menikmati keharmonian kaum dan agama serta bersatu padu dalam usaha kita untuk mengubah Sabah menjadi sebuah negeri yang segar dan cergas ekonominya.

“Saya ingin melihat Sabah menjadi tempat di mana kita semua boleh menikmati kehidupan sejahtera dan mencari rezeki dalam persekitaran bersih dan selamat, dengan prospek yang melimpah ruah,” katanya.