Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) berkata, persetujuan yang telah dicapai sebelum ini bahawa Sabah bersetuju menerima pembayaran hasil secara berperingkat perlu dibatalkan.
Kerajaan negeri harus bertegas untuk mendapatkan pulangan sepenuhnya hasil 40 peratus dan bukannya pembayaran secara berperingkat.
“Sekarang peluang yang baik untuk kerajaan negeri revoke apa yang telah dipersetujui sebelum ini dan minta sepenuhna pelaksanaan 40 peratus dengan menguna pakai formula yang dipersetujui pada 1963.
“Malah, saya mahu bertanya kepada Ketua Menteri, berapa banyak cukai yang kita bayar kepada Persekutuan agar kita dapat gambaran jumlah hasil 40 peratus yang seharusnya dikembalikan kepada Sabah,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2023 pada persidangan DUN Sabah hari ini.
Dalam pada itu, Darell mencadangkan kerajaan negeri supaya belajar dari Sarawak tentang cara untuk mengawal produk petroleum bagi memastikan hasil cukai produk petroleum yang maksimum boleh diperoleh.
Katanya, walaupun kerajaan mengumumkan akan mewujudkan Pasukan Petugas Khas cukai jualan negeri ke atas produk Petroleum namun, kawalan terhadap pelantar benua bukan dikawal oleh Sabah.
Di Sarawak, mereka memiliki hak kawalan pentadbiran pelantar benua maka, saham itu digunakan bagi memeterai kontrak perkongsian pengeluaran petroleum dengan Petronas.
Namun, di Sabah tiada hak terhadap pelantar benua maka, kerajaan Sabah perlu mengambil peluang yang ada untuk mendapatkan hak tersebut daripada kerajaan Persekutuan yang baharu.
“Sabah kena buat sebegitu dan kita tidak boleh terlepas peluang untuk menuntut hak pentadbiran terhadap pelantar benua,” katanya.