Sabah Perlu Teladani China Dalam Membangunkan Ekonomi – Shafie

1841
Tun Juhar Mahiruddin, bersama dengan Shafie Apdal dan Liang Caide, Konsul-General China ke Sabah, memotong kek bagi merayakan ulangtahun ke-69 di Kota Kinabalu pada Rabu malam.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengekalkan hubungan baik dengan China dalam memastikan pelancong dan komuniti perniagaan dari China terus datang ke Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini jelas memperlihatkan betapa pentingnya Malaysia menjaga hubungan baik dengan China. Ia bukan hanya akan mempermudahkan pelancong China datang ke Sabah tetapi juga, akan menarik komuniti perniagaan untuk melabur di Sabah.

Beliau berkata, sekumpulan pelabur China bertemu dengannya pada Rabu untuk menyatakan hasrat mereka untuk melabur di Sabah dengan suntikan pelaburan bernilai RM2 bilion dan ia sekaligus akan menyediakan 3,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan Sabah.

Katanya, melihat pencapaian China sejak 69 tahun lalu, negara itu membangun dengan begitu pesat. Pembangunan di China telah memanfaatkan seluruh dunia.

“China bukan hanya mengunapakai teknologi yang memanfaatkan masyarakat dunia tetapi, ia juga menawarkan produk yang jauh lebih murah berbanding produk yang dihasilkan oleh negara membangun.

“Oleh itu, perlu bagi kita berkongsi pencapaian China yang dulunya dibawah sistem pemerintahan komunis tetapi sekarang, ia mampu bersaing dengan ekonomi kapatalis. Ini pencapaian yang harus kita (Sabah) contohi,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Republik Rakyat China ke-69, di sini pada malam Rabu.

Shafie turut melahirkan penghargaan kepada China yang membawa masuk ramai pelancong China ke Sabah. Dianggarkan lebih 500,000 pelancong China akan berkunjung ke Sabah tahun ini.

Dengan itu, beliau berharap pelancong China akan dapat menikmati pengalaman yang baik apabila berkunjung ke Sabah yang menawarkan destinasi pelancongan dan makanan yang menarik. Malah, kepelbagaian budaya yang terdapat di negeri ini juga menjadi tarikan kepada pelancong.

Malah, Kerajaan Negeri juga menitikberatkan usaha menghormati budaya masyarakat Cina yang berada di Sabah.

“Kita bukan hanya memberi galakan kepada masyarakat Cina tetapi, kita turut memberi peruntukan untuk pelaksanaan aktiviti mereka di sini.

LIANG CAIDE

“Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong dan memberi bantuan kewangan kepada masyarakat Cina melaksanakan aktiviti mereka di Sabah. Langkah ini memperlihatkan keseriusan dan komitmen kerajaan dalam menghormati masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan budaya tidak akan pecah belahkan kita sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana kita mampu bersatu dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Konsulat Republik China di Kota Kinabalu Liang Caide berkata, kerjasama dan pertukaran antara China dan Sabah dalam pelbagai bidang semakin meningkat berikutan hubungan persahabatan yang terjalin antara China dan Malaysia.

“Semakin banyak syarikat China datang ke Sabah dalam bidang pembangunan, pelancongan dan hospitaliti, bekalan elektrik dan banyak lagi. Kemasukan pelancong China ke Sabah juga mencecah 430,000 orang pada tahun lalu dan tahun ini, jumlah itu dijangka melebihi 500,000 orang,” katanya.

Liang berkata, kejayaan lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini membuka peluang baharu kepada hubungan kerjasama antara China dan Sabah.

“Perjanjian kerjasama yang ditandatangani oleh Malaysia dan China berkaitan durian, getah dan minyak sawit akan membuka laluan kepada Sabah yang menjadi pengeluar kepada semua produk itu bagi memasuki pasaran China.

“Saya percaya dengan memanfaatkan hubungan baik antara China dan Malaysia, kerjasama antara China dan Sabah mempunyai potensi yang jauh lebih besar,” jelasnya.