Sabah Perlu Sedia Pendaftaran Data Ikut Pecahan Jantina – Prof USM

RASHIDAH SHUIB

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah perlu mengambil langkah awal dalam melakukan pendaftaran data mengikut jantina bagi memastikan agenda pembudayaan gender di negeri ini dapat dijayakan.

Profesor Pusat Penyelidikan Wanita & Gender (Kanita) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Rashidah Shuib berkata, langkah sebegitu akan membantu usaha pengumpulan data mengikut jantina (lelaki & wanita) dalam pelbagai sektor dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh.

Oleh itu, beliau ingin melihat Sabah mempunyai bank data mengenai wanita suatu hari kelak.

Beliau berkata, dengan adanya bank data dan sistem yang memiliki data lengkap mengenai wanita, ia akan memudahkan kerajaan dan sesiapa sahaja mendapatkan maklumat tentang penglibatan dan perkembangan wanita di Sabah.

“Mungkin pada peringkat awal, mulakan dengan pendaftaran data tentang penglibatan wanita dalam pelbagai sektor terlebih dahulu dan kemudian barulah menggunakan sistem yang lebih canggih untuk simpanan data yang lebih lengkap,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penutupan Program Perbincangan Meja Bulat Program Perbincangan Meja Bulat Data Pecahan Jantina & Analisis Gender, di sini pada Selasa.

Rashidah berkata, beliau difahamkan data mengenai wanita dalam sektor pekerjaan rasmi di Sabah sudah ada namun, untuk sektor pekerjaan yang tidak rasmi seperti usahawan belum ada data sedemikian.

“Data sebegini amat penting kepada negeri dan negara yang mana, kaum wanitanya turut bekerja dalam sektor tidak rasmi namun, tiada data mengenainya.

“Jika dilihat istilah English ‘No data, Not counted’, maknanya penglibatan wanita dalam sektor tidak rasmi tidak diambil kira. Ia menjadikan pengumpulan data tidak lengkap,” jelasnya.

Menurutnya, sektor politik juga memerlukan data mengenai wanita agar penglibatan wanita diambil kira di setiap peringkat kepimpinan termasuk di Majlis-majlis Daerah.

Katanya, data dan analisis jantina ini amat penting dalam pembangunan sesebuah negara.

“Kesaksamaan dan pembudayaan gender (jantina) sudah lama diterima pakai semua negeri di Malaysia. Jika ingin menyentuh tentang pembudayaan jantina, pengumpulan data mengenai pecahan jantina ini adalah langkah awal kepada pembudayaan itu.

“Saya percaya Kerajaan Sabah akan melihat perkara sebegini satu langkah positif yang dilaksana JHEWA dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS),” ujarnya.

Rashidah berkata, konsep pecahan jantina ini mudah. Misalnya dalam pemilikan tanah boleh lihat peratusan pemilikan tanah bagi lelaki dan wanita.

Sekiranya peratusan pemilikan tanah wanita terlalu sedikit, mungkin boleh mengenalpasti cara yang dapat mengurangkan jurang pemilikan tanah antara lelaki dan wanita.