Sabah Perlu Percepatkan Beli Vaksin Sendiri

FRANKIE POON

KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon menggesa kerajaan negeri mempercepatkan proses pembelian vaksin Covid-19 sendiri bagi membolehkan sasaran 80 peratus populasi di Sabah diberikan vaksin tercapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat ini berkata, kerajaan negeri sebelum ini mencadangkan untuk membeli vaksin sendiri namun perlu diingat proses pembelian ini perlu mendapat kelulusan NPRA.

Untuk itu,  NPRA tidak harus menangguhkan kelulusan untuk kerajaan Sabah mendapatkan vaksin yang kini telah digunakan di Malaysia serta telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sabah mempunyai penduduk hampir 3.9 juta penduduk jadi, untuk mencapai sasaran memberikan vaksinas kepada 80 peratus populasi. Ini bermakna 6.28 juta dos vaksin Covid-19 akan diperlukan daripada jumlah vaksin yang sedia ada di Malaysia.

“Sekiranya cadangan menggunakan jenis vaksin China yang baharu, hanya 3.12 juta dos yang diperlukan kerana vaksin jenis ini hanya memerlukan satu dos vaksin sahaja.

“Ketika ini, seramai 541,016 orang (18.45 peratus telah memenuhi tanggungjawab bagi pendaftaran vaksinasi mereka dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga telah memberi vaksin kepada sekitar 145,594 orang atau 4.46 peratus setakat 28 Mei,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Frankie berkata, sekiranya Sabah mempunyai vaksin sendiri dan memulakan proses vaksin pada Julai maka, sasaran untuk memvaksinasi 80 peratus penduduk akan dicapai sebelum Disember ini.

Pada masa ini, proses vaksinasi di Sabah terlalu perlahan. Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri harus menyediakan tempat khas yang terbuka untuk orang ‘walk in’ ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan vaksin.

Terdapat ramai orang yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19 tetapi belum dapat tarikh temu janji untuk diberikan vaksin.

“Kerajaan seharusnya menyediakan ruang kepada mereka menunggu di kawasan yang tertentu bagi mendapatkan vaksin daripada kuota orang yang tidak hadir temu janji bagi memastikan vaksin yang disediakan tidak terbazir.

“Saya percaya klinik dan hospital swasta juga harus memberi bantuan atas usaha ini dengan melaksanakan tanggungjawab sosial,” ujarnya.

Dalam masa yang sukar ini, hanya proses vaksinasi sahaja yang membolehkan sektor ekonomi dibuka dengan cepat. Jika proses memberi vaksin kepada 80 peratus rakyat Sabah dapat disegerakan, keadaan di negeri ini akan kembali pulih lebih awal.