Sabah Perlu Lapangan Terbang Baharu, Shafie Apdal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah perlu menambah sebuah lapangan terbang baharu berikutan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang sedia ada tidak akan berupaya menampung kapasiti penumpang dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, keupayaan lapangan terbang yang ada kini hanya boleh menampung sehingga lebih 9 juta orang dan kapasiti buat masa ini sudah mencecah 8 juta orang, iaitu terdapat perbezaan kira-kira 400,000 orang sahaja.

“Dengan itu, kita jangka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, keupayaan lapangan terbang kita memang terbatas untuk menerima kemasukan pelancong yang datang dari dalam dan luar negara.

“Perkara ini perlu diatasi dan diuruskan pada masa akan datang. Ini antara perkara yang kita bincangkan (dalam mesyuarat) dan akan beri keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat sempena Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Sabah Bagi Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di sini pada Jumaat.

Sesi itu dikendalikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diwakili Timbalan Menterinya Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Bagaimanapun, Mohd Shafie tidak menyatakan lokasi dan kos yang akan terlibat kerana perkara itu masih diperingkat perbincangan.

Menurutnya, perancangan menambah lapangan terbang itu adalah langkah bagi menguruskan kapasiti pelancong dari dalam dan luar negara yang dijangka semakin meningkat pada masa akan datang.

Ditanya adakah lapangan terbang baharu itu akan menggantikan lapangan terbang sedia ada, beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan apabila tiba waktunya.

“Apabila sampai waktunya kita akan bincangkan. Sekarang ini sukar bagi kita menyatakan berapa kos, dimana lokasinya tapi kita memang ada rancangan untuk membina (lapangan terbang baharu),” ujarnya.

Mengenai industri gas pipeline, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Namun, industri minyak dan gas ini perlu diperluaskan dengan memberi penekanan kepada aktiviti hiliran agar industri ini dapat dibangunkan secara maksimum. Itu akan membolehkan negeri ini memperolehi lebih banyak hasil disamping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, sesi jelajah yang diadakan di seluruh negara itu bertujuan untuk berkongsi aspirasi Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar boleh jajarkan bersama perancangan pembangunan persekutuan dan negeri Sabah.

Katanya, diperingkat Kerajaan Persekutuan telah mengenalpasti 15 Bidang Pertumbuhan Utama Ekonomi yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi dalam RMK12.

“Dalam konteks negeri Sabah yang cukup kaya dengan khazanah alam semulajadi, ia memberi kelebihan kepada Sabah untuk mengoptimakan sepenuhnya sumber alam itu bagi meningkatkan industri pelancongan negeri.

“Berdasarkan statistik terkini, sejumlah 3 juta pelancong asing berkunjung ke Sabah setiap tahun dan itu menjadikan Sabah hab pelancongan yang berpengaruh di wilayah ini. Untuk itu, tumpuan perlu diberi bagi menarik pelancong high-net-worth dari negara seperti China dan Filipina,” jelasnya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick serta pembantu-pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan lain.