Sabah Perlu Banyak Peruntukan Bina Rumah Mampu Milik Atasi Masalah Setinggan

2107

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Melihat Sabah antara negeri yang mempunyai banyak rumah setinggan, kerajaan perlu membinaan lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, Sabah memerlukan banyak rumah berikutan pertambahan penduduk yang semakin meningkat.

”Setakat hari ini kita belum mengenal pasti berapa jumlah sebenar rumah mampu milik akan dibina di Sabah. Namun, kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi peruntukan yang banyak untuk membina rumah di Sabah.

JAUJAN SAMBAKONG

”Jika dilihat di Semenanjung Malaysia, mereka sudah jauh membangun dan Sabah adalah negeri yang mempunyai rumah setinggan paling banyak,” katanya ketika ditanya tentang peruntukan bagi pembinaan rumah mampu milik di Sabah menerusi dana RM1.5bilion dalam Belanjawan 2019 Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Buku Dasar Belia Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020, di sini pada Khamis.

Jaujan berkata, selain peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga akan turut membina rumah bagi menampung keperluan permintaan yang semakin meningkat.

Dalam Belanjawan 2019, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi membina dan menyiapkan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam Malaysia dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad.

Mengenai pelancaran dasar dan pelan strategik itu, Jaujan berkata, langkah mewujudkan dasar untuk membangunkan belia di Sabah itu jelas memperlihatkan komitmen kerajaan bukan sekadar retorik dan kata-kata sahaja.

”Pemimpin hari ini tidak akan kekal selamanya maka, kita kena membina dan membentuk belia yang ada demi kemakmuran dan pembangunan Sabah pada masa akan datang.

”Dalam mencorakkan masa depan, kita tidak boleh meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada kerajaan selaku penggubal dasar. Kita perlu membentuk dan membangunkan belia kerana mereka yang akan menerajui kepimpinan pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan belia agar jangan menyalahgunakan teknologi digital yang ada pada hari ini untuk perkara yang negatif.

Katanya, perkara-perkara yang negatif hanya akan mengagalkan usaha membangunkan negeri ini dan sekaligus mendatangkan kerugian kepada rakyat secara keseluruhannya.

”Semua pihak perlu bekerjasama agar usaha membangunkan negeri ini berjalan lancar. Rakyat hari ini mahukan kehidupan yang berkualiti maka, mereka perlu menguasai ilmu agar memperolehi kerja dan pendapatan yang baik.

”Bagi pihak kerajaan, kita akan terus meningkatkan usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan melalui kemasukan banyak penggiat industri.

”Kita juga mahu industri yang dibangunkan itu dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan berpendidikan tinggi agar kadar pengangguran dalam kalangan graduan dapat dikurangkan. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor perkhidmatan awam sahaja sebaliknya, kita perlu mewujudkan industri yang pelbagai,” ujarnya.