Sabah Perlu Bangunkan Industri Pengeluaran Kopi – FSI

68
Chong, tiga kanan, bersama Madiyem, dua kiri, melawat salah sebuah gerai yang mengambil bahagian dalam Borneo Coffee Festival berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Melihat kopi berpotensi menjadi bahan dagangan komoditi utama dunia suatu hari kelak, masyarakat di Sabah terutama golongan belia disaran agar menceburi industri berkenaan.

Presiden Persekutuan Industri Sabah (FSI) Chong Hon Len berkata, pada masa ini, bahan komoditi kedua terbesar dunia adalah kopi jadi, tidak mustahil ia akan menjadi komoditi utama pada masa hadapan.

Oleh itu, golongan belia di negeri ini perlu memanfaatkan peluang yang ada bagi membangunkan industri kopi di Sabah agar negeri ini mampu menjadi pengeluar terbesar kopi di Malaysia serta dunia.

Katanya, sudah tiba masanya Sabah memberi perhatian untuk membangunkan industri kopi kerana keadaan topografi Sabah sangat sesuai bagi menghasilkan kopi yang berkualiti.

Beliau berkata, kerajaan juga menyokong pembangunan industri kopi ini dengan memasukkan komoditi kopi dalam Pelan Pembangunan Pertanian Sabah. Maka, perlu bagi industri menggerakkan lebih ramai individu menceburi industri kopi di negeri ini.

Untuk itu, beliau mengalakkan lebih ramai belia untuk terlibat dalam mengusahakan ladang tanaman kopi serta membuka kafe secara kecil-kecilan agar dapat menyokong pembangunan industri kopi di Sabah.

Industri kopi mempunyai limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang banyak kerana ia melibatkan penanaman kopi, pemprosesan kopi serta pembuat kopi atau ‘barista’.

“Memandangkan industri kopi tidak mempunyai pasaran yang besar di Sabah jadi, kita kena mula dengan industri berasaskan sumber. Kita kena melatih golongan belia untuk terlibat dalam pembangunan industri kopi.

“Kemasukan lebih banyak produk kopi dari luar ke Sabah juga harus dimanfaatkan oleh industri kopi tempatan untuk menghasilkan produk kopi yang lebih baik. Jangan takut dengan persaingan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan industri kopi di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran ‘Borneo Coffee Festival’ di Suria Sabah Mall, di sini pada Jumaat.

Festival Kopi anjuran Borneo Coffee Alliance (BCA) kali keempat itu dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Datuk Madiyem Layapan.

Chong juga mahu penggiat industri kopi di Sabah belajar dari kejayaan Vietnam yang muncul sebagai pengeluar kopi kedua terbesar dunia. Vietnam memulakan industri pengeluaran kopi sejak 30 hingga 40 tahun yang lalu.

Katanya, Sabah juga perlu melakukan kajian dan penyelidikan dalam menghasilkan kopi yang berkualiti dan mampu memenuhi pasaran dunia.