Sabah Perlu 75,414 Rumah Rakyat Termiskin, Ewon Benedick

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah masih memerlukan sebanyak 75,414 Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada ketika ini berdasarkan senarai e-Kasih yang direkodkan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, itu adalah jumlah sebenar yang memerlukan pembelaan rumah PPRT kerana mereka tersenarai dalam statistik kemiskinan negeri Sabah setakat 1 April.

“Melalui statistik e-Kasih, masih terdapat 75,414 orang yang berdaftar dengan e-Kasih, iaitu 18,076 orang tergolong dalam kategori miskin tegar, 20,259 orang kategori miskin dan 37,079 terkeluar.

“Saya juga bersetuju dengan pandangan ahli-ahli dewan ini bahawa itulah jumlah yang sebenarnya memerlukan pembelaan rumah PPRT,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Menurutnya, Kerajaan Sabah sebenarnya telah bersetuju dengan keperluan sebenar pelaksanaan PPRT, iaitu lebih banyak program Bina Baharu diperlukan berbanding dengan program Baik Pulih.

“Saya sendiri telah menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri ini kepada KPLB Persekutuan dalam semua platform yang saya hadiri. Bagaimanapun, kita dimaklumkan bahawa KPLB Persekutuan terikat dengan dasar-dasar sedia ada di peringkat persekutuan termasuk keputusan-keputusan Kabinet Persekutuan yang berkaitan.

“Maka pada tahun ini, hanya 445 rumah PPRT bina baharu akan dilaksana di Sabah dan sejumlah 225 buah bina baharu akan dilaksanakan dalam Fasa Satu.

“Manakala, sebanyak 1,740 buah PPRT baik pulih akan dilaksanakan oleh KPLB Persekutuan melalui agensi mereka, iaitu Giat MARA,” jelasnya.

Ewon, yang juga Adun Kadamaian berkata, dalam masa yang sama KPLB Sabah juga berharap akan mendapat peruntukan tambahan bagi pembinaan rumah PPRT bina baharu pada tahun ini tertakluk kepada peruntukan persekutuan.

(Visited 1 times, 1 visits today)