Sabah Perkenal Aplikasi Pembayaran ‘Sabah Pay’ Milik Kerajaan Negeri

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah mengambil langkah setapak ke hadapan apabila menjadi negeri kedua yang mengambil inisiatif melancarkan sistem e-wallet milik kerajaan negeri dikenali sebagai Sabah Pay.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, melalui Sabah Pay, semua urusan pembayaran oleh jabatan dan agensi kerajaan akan dilakukan secara dalam talian bagi mempermudahkan tadbir urus perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, aplikasi Sabah Pay bukan hanya dapat dimanfaatkan oleh pengguna di Sabah tetapi juga pelabur yang mempunyai urusan perniagaan di negeri ini.

“Melalui sistem ini, ia akan mempermudahkan pembayaran bil dan akan mengurangkan bebanan kos pengangkutan.

“Sistem ini juga beroperasi selama 24 jam dan keselamatannya lebih terjamin kerana tidak perlu membawa wang yang banyak ke bank,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran e-wallet Sabah Pay di sini hari ini.

Aplikasi Sabah Pay itu dibangunkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dengan kerjasama Boost, Sunline International (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Alibaba Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Katanya, apabila sistem itu sudah matang kelak, penggunaannya akan diperluaskan kepada pengusaha pelancongan di luar negara supaya urusan tempahan boleh dilakukan melalui aplikasi Sabah Pay.

Namun katanya, penggunaan aplikasi itu tidak akan diwajibkan bagi semua urusan pelancongan pada peringkat awal kerana masih ada kawasan yang tiada liputan internet 3G dan 4G.

Mohd. Shafie, ketiadaan liputan internet yang baik akan menyukarkan usaha mempromosi dan memasarkan aplikasi Sabah Pay ini.

“Atas sebab itu kita tidak boleh mewajibkan penggunaannya, namun kita akan menyediakan garis masa.

“Apabila sistem ini sudah matang dan ditambah baik dan semua transkasi agensi dan jabatan kerajaan sudah boleh dilakukan menggunakan Sabah Pay, barulah boleh lihat langkah mewajibkan penggunaannya,” ujarnya.