Sabah Negeri Terbesar Tarik Pelaburan Suku Pertama 2020 – MIDA

Christopher Masudal

KOTA KINABALU : Sabah terus cemerlang dalam menarik pelaburan baru apabila Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan negeri ini memperoleh nilai pelaburan terbesar sebanyak RM11.7 bilion yang diluluskan untuk suku pertama tahun ini.

Bekas Pegawai Eksekutif (Pelaburan) MIDA, Christopher Masudal berkata, amat membanggakan bagi Sabah kerana buat pertama kali negeri itu diletakkan setaraf dengan Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor sebagai empat ekonomi terbesar di Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Antarabangsa, Perdagangan dan Industri, Datuk Darell Leiking bekerja keras untuk mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Sabah dengan membawa seberapa banyak pelaburan domestik dan luar negara secara langsung ke Sabah.”

“Saya bayangkan bagaimana nanti jika Shafie menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sudah pasti Sabah akan menjadi pusat kegiatan ekonomi dalam wilayah BIMP-Eaga yang mempunyai kira-kira 57 juta penduduk dan Sarawak juga akan turut menikmati limpahan ekonomi yang baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dengan China yang bercita-cita mahu menguasai ekonomi global, keputusan Indonesia memindah ibu kotanya ke Kalimantan, kestabilan berterusan di wilayah Filipina Selatan dan hakikat bahawa selat Makassar-Lombok yang terletak di sepanjang Pantai Timur Sabah, menjadikan negeri ini berpotensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi dalam negara ini.

Tetapi katanya, untuk mencapai ke tahap itu negeri ini perlu pemimpin yang sesuai untuk melakukan tugas itu.

Masudal yang merupakan perunding media dan pelaburan berpendapat bahawa komitmen Shafie Apdal dan Darell Leiking ketika berurusan dengan pelaburan asing adalah kunci kepada rekod pelaburan yang mengkagumkan itu.

“Ketika kedudukan geografi Sabah yang sesuai dengan sumber alam yang begitu banyak, kita masih memerlukan Ketua Menteri atau menteri yang komited dan sanggup berjalan jauh dalam membantu pelabur asing ini, terutama ketika melalui pelbagai halangan dan proses rundingan rumit yang adakalanya boleh melewatkan seluruh proses selain memenatkan mental,” tambahnya.

Menurut Masudal, dia mungkin boleh silap tetapi dia tidak fikir iltizam yang dipamerkan oleh ketua-ketua menteri Sabah sebelum ini, jika ada, tidak mustahil Sabah sudah pun menjadi kuasa ekonomi yang besar sejak 20 tahun yang lalu.

“Sebaliknya, apa yang saya ingat adalah Sabah diisytiharkan oleh Bank Dunia pada 2010 sebagai negeri termiskin di Malaysia dan kedua ramai mengadu ketika itu kenapa Sabah yang begitu kaya sumber alam semulajadinya tetapi penduduknya pula miskin,” katanya.

Secara peribadi, kata Masudal, beliau rasa laporan MIDA yang diumumkan sendiri oleh Azmin Ali itu sepatutnya menjadi garis panduan kepada ahli-ahli parlimen sama ada Shafie layak menjadi bakal perdana menteri untuk Malaysia atau sebaliknya.

Jika aspek pelaburan dan integrasi nasional menjadi kebimbangan ahli parlimen kita dan jika rakyat Malaysia mahu melihat negara ini bangkit sebagai ‘Harimau Asia’, maka Shafie adalah calon paling baik kerana ketiga-tiga aspek di atas adalah kekuatannya, jelasnya.

Minggu lalu, MIDA dalam kenyataan akhbarnya merekodkan sejumlah RM37.4 bilion nilai pelaburan  yang diluluskan dalam industri pembuatan, perkhidmatan dan sektor primari setakat suku pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM26.3 bilion atau 70.4 peratus disumbangkan oleh pelaburan domestik manakala RM11.1 billion atau 29.6 peratus datang daripada pelaburan asing terutama dari Switzerland (RM2.7 bilion), Singapura (RM2.1b dan Amerika Syarikat (RM2 bilion).

Bagi projek yang diluluskan mengikut negeri, yang utama ialah Sabah, Pulau Pinang, Selangor, Johor dan W.P. Kuala Lumpur yang semua sekali menyumbang RM30.0 bilion (80.1 peratus) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga Mac 2020.