Sabah Mundur Selama 24 Tahun BN Perintah – Darell Beritahu Najib

OLEH NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Penilaian pertumbuhan ekonomi Sabah selama 26 bulan ketika pemerintahan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak adil kerana pemerintahan masih belum cukup penggal.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, jika tempoh pemerintahan itu mahu dijadikan penilaian, maka UMNO lebih teruk kerana 24 tahun memerintah, Sabah masih terlalu mundur dalam pelbagai faktor.

Darell yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, selepas bertahun-tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Sabah masih menghadapi masalah kekurangan prasarana.

“Infastruktur jalan raya, hanya 52 peratus jalan di Sabah diturap pada 2018 tetapi di Semenanjung 90 peratus jalan sudah diturap. Selama bertahun-tahun, masih terdapat kekurangan bekalan elektrik di pantai timur Sabah dan tiada sistem pengangkutan awam yang baik di negeri ini.

“Sekolah daif dan sekolah tidak mencukupi selain jaringan liputan yang teruk untuk melakukan pembelajaran dalam talian. Begitu juga perkhidmatan kesihatan yang teruk di kawasan luar bandar iaitu kekurangan pegawai perubatan, kekurangan doktor gigi yang serius serta keadaan klinik desa yang daif,” katanya.

Tambah Darell lagi, tenaga kerja berkemahiran di Sabah juga rendah dan hanya 17 peratus yang berpendidikan tinggi.

“Selain itu, rangkaian nilai aktiviti ekonomi yang rendah. Sabah memjadi negeri pengeluar minyak sawit mentah dan serbuk koko yang terbesar di negara ini tetapi tiada satu pun kilang oleokimia atau produk berasaskan koko hiliran yang mempunyai nilai tambah yang minimum.

“Kenaikan kos sara hidup didapati lebih tinggi daripada Semenanjung seperti yang ditunjukkan oleh Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) yang lebih tinggi untuk Sabah.

“Inilah kegagalan pentadbiran kerajaan BN/UMNO selama 24 tahun yang kini Perikatan Nasional (PN) mahukan WARISAN selesaikan hanya dalam tempoh 26 bulan?,” katanya.

Katanya lagi, bekas Perdana Menteri harus tahu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah pada 2018 lebih rendah adalah disebabkan pelbagai faktor.

“Antaranya harga komoditi menurun secara global disebabkan faktor luaran yang berada di luar kawalan Kerajaan dan Sabah yang juga sebagai pengeluar komoditi terjejas terutamanya pengeluaran minyak sawit disebabkan harga yang lebih rendah dan seterusnya mencerminkan pertumbuhan negatif dalam sektor pertanian pada 2018.

“Selain itu, sektor perlombongan dan penggalian yang merupakan penyumbang utama ekonomi negara mencatat pertumbuhan negatif iaitu -5.6 peratus pada 2018 disebabkan gangguan pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas yang juga berada di luar kawalan kerajaan negeri.

“Sektor pertanian dan perlombongan serta penggalian sahaja menyumbang lebih daripada 50% daripada KDNK negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Darell berkata, penilaian selama 26 bulan adalah terlalu pendek untuk mengukur prestasi kadar pertumbuhan ekonomi Sabah dan tempoh masa selama lima tahun adalah lebih realistik untuk membuat keputusan itu.