Sabah Minta JKR Diberi Kepercayaan Laksana Projek Pembinaan Sekolah

1846
Ketua Menteri Sabah bersama dengan murid murid SK Tuarid Taud Keningau.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Ketua Menteri Sabah menyarankan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pembangunan Persekutuan supaya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembinaan bangunan sekolah di Sabah dapat dipercepatkan.

Katanya, saranan itu diberi berikutan sebahagian besar projek pembinaan sekolah dibawah kendalian agensi persekutuan yang dilaksanakan di Sabah mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.

”Saya percaya jika Jabatan Kerja Raya Negeri yang kendalikan projek pembinaan itu, prosesnya akan dapat dipercepatkan,” katanya.

Mengenai pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tuarid Taud Keningau yang dibina dengan Sistem Binaan Berindustri (IBS), pembinaan itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi iaitu RM3.5 juta.

Sekiranya ia dibina secara manual, kos itu pasti lebih murah.

Pembinaan bangunan baharu sekolah itu mula dilaksana pada Mac 2018 namun tergendala buat seketika sebelum diteruskan pembinaannya pada Oktober lalu.

Bangunan dibina dengan IBS itu siap dibina pada Disember lalu dan mula digunakan oleh 472 murid sekolah termasuk pra-sekolah bermulanya sesi persekolahan 2 Januari lalu.

Bangunan itu memuatkan tujuh kelas, sebuah makmal, sebuah stor serta dilengkapi dengan tandas.

Ia juga lengkap dengan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi dan meja.