KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, pelaksanaan Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (2020-2024) akan membolehkan kerajaan negeri mencapai status Kerajaan Digital Pintar dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, bagi membolehkan proses pendigitalan itu berjaya dilakukan, kerajaan negeri telah mewujudkan bahagian pendigitalan kerajaan yang akan diketuai seorang pegawai Gred N54 dan 10 orang pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional berlatar belakangkan teknologi maklumat.
“Kerajaan juga akan memastikan prrogram digitalisasi menjadi agenda utama semua Setiausaha Tetap kementerian dalam meningkatkan kecekapan dan sistem penyampaian kepada rakyat dan pihak pemegang taruh.
“Di samping itu, kerajaan negeri juga akan memastikan aplikasi yang ada di peringkat jabatan dan kementerian akan diintegrasikan,” katanya dalam Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah 2020, di sini hari ini.
“Banyak aplikasi yang ada bersifat persendirian dan tidak integrasi dengan aplikasi di jabatan mahupun kementerian lain.
“Jadi kita akan integrasikan aplikasi yang ada ini supaya kita boleh berkongsi data yang sama.
“Apabila kita membangunkan pangkalan data, sebolehnya ia harus merangkumi semua agar data berkenaan boleh digunakan oleh semua jabatan dan kementerian di Sabah.
Beliau berkata, berdasarkan konsep kerajaan digital, perkhidmatan awam akan berlandaskan pendekatan 5A iaitu ‘Accessible by Anyone at Any time, Any Where, by Any Mobile Device’.
Dalam tempoh lima tahun ini, satu platform akan diwujudkan bagi memudahkan perkongsian data antara kerajaan kepada kerajaan; kerajaan kepada perniagaan (sektor swasta); dan kerajaan kepada rakyat.
“Bagi merealisasikan hasrat menjadi kerajaan digital pintar, pentadbiran negeri akan ditransformasikan secara berperingkat iaitu daripada digital automation kepada digital transformation dan akhirnya kepada digital innovation,” ujarnya.
Lima fokus utama itu adalah meningkatkan kecekapan dan sistem penyampaian kerajaan negeri; menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendekatan inklusif; mempercepatkan pembangunan sektor-sektor produktif, termasuk menarik pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negeri; memperkasakan pembangunan modal insan melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti serta inovasi; serta meningkatkan pembangunan pembolehdaya seperti teknologi komunikasi maklumat (ICT), infrastruktur asas fizikal, utiliti dan kemudahan awam bagi menyokong pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Tambahnya, terdapat seramai 20,779 orang penjawat awam negeri Sabah dan ianya jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Turut hadir adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.