Sabah Mohon Kajian Persempadanan Semula Kawasan Parlimen – Sukarti

8022
Sabah cuma ada 25 kerusi Parlimen ketika ini dan 60 kerusi negeri. 13 lagi telah diluluskan oleh DUN Sabah pada Ogos 2016, tapi sampai hari ini belum dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Oleh SUKARTI WAKIMAN
KENYATAAN: Susulan daripada cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mendapat kelulusan DUN Sabah, Kerajaan Negeri telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya peringkat kawasan Parlimen dengan cadangan pertambahan kawasan.

Antara asas dan pertimbangan cadangan tersebut adalah:

SUKARTI WAKIMAN

1. Tempoh 15 tahun sejak kali terakhir persempadanan dan pertambahan kawasan Parlimen di Sabah dilaksanakan pada tahun 2003;

2. Keperluan untuk menambah jumlah perwakilan Sabah dalam Parlimen sejajar dengan status dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia;

3. Keluasan luar biasa sesetengah kawasan Parlimen di Sabah termasuk melebihi saiz beberapa negeri di Semenanjung Malaysia;

4. Peningkatan keberkesanan khidmat kepada rakyat dengan saiz kawasan yang sewajarnya mengambil kira sempadan pentadbiran daerah dan perwakilan rakyat di peringkat Parlimen.

Kerajaan Negeri difahamkan bahawa permohonan tersebut sedang dalam proses kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan itu, pelaksanaan persempadanan dan pertambahan 13 kawasan baharu DUN Sabah dijangka dibentangkan di Parlimen secara serentak, bersekali dengan cadangan persempadanan dan pertambahan kawasan Parlimen, setelah selesai kajian dilaksanakan oleh SPR.

• Sukarti Wakiman ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah