Sabah Mampu Jadi Negeri Berpendapatan Tinggi Dalam Industri Aeroangkasa

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Pembukaan Pusat Latihan Aeroangkasa Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bakal melonjakkan Sabah sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi melalui industri aeroangkasa.

Ia sekali gus akan menjadikan pusat latihan industri itu antara yang terkemuka di Asia Tenggara di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, difahamkan ia akan menjadi pusat latihan penyelenggaraan pesawat yang pertama di Malaysia yang memiliki dua kelulusan.

“Kelulusan itu termasuk daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pengesahan antarabangsa di bawah Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) Bahagian 147 bagi mengendalikan Kategori A1 latihan Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat.

“Graduan Kategori A1 Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat akan diberikan dua lesen ini untuk bekerja dalam industri aeroangkasa dan mereka akan dilengkapkan dengan kemahiran menyeluruh termasuk latihan dalam bidang berkaitan avionik, enjin, badan dan kerja komposit, merangkumi pembelajaran teori dan latihan pekerjaan di hangar termasuk di hangar milik MRO (organisasi penyelenggaraan dan pembaikan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke pusat latihan itu, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), hari ini.

Madius berkata, perlesenan ini penting kerana graduan bukan saja dapat bekerja di industri aeroangkasa tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

“Graduan juruteknik dari pusat latihan yang memiliki dua pelesenan mampu menikmati gaji bulanan sehingga RM5,000 manakala bagi graduan aeroangkasa berpengalaman yang mencari kerja di Dubai, boleh menikmati gaji permulaan bulanan sebanyak USD8,000 (RM34,088),” katanya.

Sehubungan itu, KKIP Aerospace kini sedang dalam proses mewujudkan hab latihan aeroangkasa yang akan ada kerjasama dengan MASwings Sdn Bhd, Layang- Layang Aerospace, Mega Aerospace Sdn Bhd dan CAAC Malaysia Sdn Bhd untuk latihan pekerjaan.

“Selain itu, ia turut bekerjasama dengan Bataras Sdn Bhd dan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian bagi program pembangunan vendor utama.

“Pusat latihan berkenaan dilengkapi pelbagai fasiliti penting seperti hangar, bilik kuliah dan bengkel serba lengkap serta 120 bilik asrama berhawa dingin yang dilengkapi katil, meja belajar dan almari, selain bilik mandi dan laundry.

“Selain turut memiliki pesawat sebenar jenis Autogyro Cavalon 915 dan Hawker Siddeley HS-125-400A,” katanya.

Terdahulu, pusat latihan ini terletak di KKIP iaitu kira-kira 30 minit dari pusat bandar Kota Kinabalu dan pusat latihan ini dijangka mampu memberikan pulangan yang signifikan daripada industri aeroangkasa menerusi pembangunan tenaga kerja mahir.