Sabah Mampu Capai 40,000 Vaksin Sehari

KOTA KINABALU: Sabah berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran 40,000 orang penerima vaksin setiap hari berikutan lebih banyak bekalan vaksin Covid-19 akan diterima bermula minggu ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, jika dilihat semalam, Sabah sudah berjaya mencapai sasaran 30,000 orang penerima vaksin sehari.

“Ketika ini, kita sedang mengubah strategi pemberian vaksin dan cara agihan vaksin di kawasan yang mempunyai ramai populasi penduduk.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah meyakinkan individu yang belum berdaftar untuk berdaftar sebagai penerima vaksin,” katanya selepas mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS), dekat sini hari ini.

Menurutnya, Sabah akan terus menerima bekalan vaksin biarpun terdapat sedikit kelewatan satu hingga dua dua hari, namun bekalan masih diterima.

Mengenai cadangan membenarkan ‘walk-in’, Rose Nani berkata, pemberian vaksin secara ‘walk-in’ akan dibenarkan setelah semua individu yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera selesai menerima vaksin.

Katanya, pada masa ini masih ramai penerima vaksin yang berdaftar melalui My Sejahtera belum menerima tarikh temu janji mereka.

“Jadi sebelum kita membenarkan pemberian vaksin secara walk-in, kita perlu memastikan semua penerima yang berdaftar melalui MySejahtera diberikan vaksin terlebih dahulu.

“Namun, kebenaran walk-in ini sudah diberikan melalui program outrach Covid-19 di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Sehingga semalam, berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), terdapat 371,520 orang sudah menerima vaksin lengkap Covid-19 di Sabah atau 13.5 peratus daripada jumlah individu yang berdaftar.

Bagi penerima dos pertama pula membabitkan seramai 532,227 orang.