KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil langkah setapak ke hadapan apabila memperkenal Sistem Kelulusan Kebenaran Merancang (ePP) yang boleh menentukan kelulusan pelan pembangunan dalam tempoh 24 jam.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelaksanaan sistem ePP yang dibangunkan Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan itu akan membolehkan pemohon iaitu pemaju atau pelabur mengetahui dengan lebih cepat keputusan cadangan pembangunan sama ada boleh dilaksana atau sebaliknya.
Beliau berkata, sistem ini juga akan mengurangkan kos pelabur dari segi membeli tanah yang tidak sesuai, mengurangkan kos bahan mentah untuk pembinaan serta menjimatkan masa kerana tidak perlu melawat pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, inisiatif ini diambil bagi memudahcara tempoh dan proses kelulusan pelan pembangunan yang sering menjadi kegusaran pemaju dan pelabur. Ia kerana ada pemaju perlu menunggu sehingga 10 tahun bagi mendapatkan kelulusan pelan pembangunan.
“Langkah sebegini dilihat akan mengelakkan berlakunya rasuah serta mengurangkan kos urustadbir dan bahan binaan.
”Sekiranya kelulusan pelan pembangunan lewat diberikan, kos bahan binaan biasanya akan meningkat dalam tempoh tersebut.
“Dengan pendekatan baru dalam memberi kelulusan yang cepat ini, pemaju tidak perlu menampung kos yang agak besar dan itu akan membantu mengurangkan kos pembinaan hartanah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi membolehkan pelaksanaan ePP ini dilakukan, perubahan dalam perundangan dan pentadbiran dilakukan termasuk memansuhkan Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa (Central Board).
Menurutnya, pelaksanaan ePP itu akan diperluaskan ke PBT lain di Sabah agar pelan pembangunan di kawasan lain juga dapat dipercepatkan.
“Kita akan mengusahakan untuk melaksana ePP ini di Majlis Perbandaran Sandakan dan Tawau menjelang Jun.
Untuk kawasan yang lebih kecil, sistem pengezonan mengikut kawasan akan dilakukan bagi melaksana ePP.
“Daerah seperti Beaufort, Sipitang, Semporna, Kunak, Lahad Datu akan digabungkan mengikut zon tertentu bagi melaksana sistem ePP ini,” ujarnya.
Turut hadir dalam pelancaran itu adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Datuk Jaujan Sambakong, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.