Sabah Lancar e-Jariah Mudahkan Sumbangan Jariah, Sedekah Orang Ramai

KOTA KINABALU: Sabah hari ini melancarkan aplikasi E-Jariah bagi memudahkan orang ramai, sama ada perseorangan atau syarikat membuat sumbangan jariah atau sedekah hanya melalui telefon pintar.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor ketika berucap melancarkan aplikasi itu di Menara Kinabalu di sini hari ini berkata E-Jariah dibangunkan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dengan kerjasama TM One iaitu cabang perniagaan Telekom Malaysia Berhad.

Beliau berkata kerajaan negeri berbesar hati dengan komitmen PBNS yang mempelbagaikan aktiviti  kutipan sumbangan mereka melalui kaedah yang mudah dan bersesuaian dengan peredaran terkini.

“Ini dapat membantu PBNS melaksanakan aktiviti agihan yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar dan memerlukan di negeri ini. Orang awam diharap dapat memanfaatkan aplikasi E-Jariah ini dengan sepenuhnya kerana ia akan memudahkan mereka membuat sumbangan di mana sahaja (mereka) berada,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan bandar pintar di beberapa kawasan tumpuan di Sabah dalam usaha membangunkan ekosistem ekonomi digital dan pembudayaan digital bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Beliau berkata usaha itu akan dipacu oleh pelan strategik kerajaan digital dan selaras dengan teras ketiga Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

“Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi, melaksanakan pendigitalan perkhidmatan serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur,” katanya.