Sabah Lambang Perpaduan Dalam Kemerdekaan Negara

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
RANAU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Sabah bukan hanya menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara tetapi turut menjadi contoh perpaduan kaum kepada seluruh rakyat Malaysia sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Ketua Menteri berkata, walaupun masyarakatnya berbilang kaum dan agama, rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman sempit yang boleh membawa kepada perpecahan.

“Jangan kita gunakan kebijaksanaan kita, kekayaan, harta, ilmu dan kekuatan politik kita semata-mata untuk akhirnya berpecah-belah di antara satu sama lain tapi gunakan kekuatan itu untuk menjadi penyumbang ke arah penyatuan pelbagai kaum, biar Sabahan menjadi contoh kepada semua kaum di Malaysia.

“Kita tunjukkan sebagai satu model yang walaupun kita berbagai anutan agama, kita tidak dipisahkan oleh fahaman yang sempit, walaupun banyak kedaifan serta kepincangan kehidupan, namun kita masih hidup dalam keadaan perpaduan dan kekentalan jiwa untuk terus memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019 di Pekan Ranau hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Program, pimpinan negeri serta orang awam.

Ketua Menteri berkata, dalam mengekalkan kemerdekaan ini, golongan yang lebih berumur perlu sentiasa mendidik anak-anak muda tentang nilai-nilai moral dan amalan yang baik kerana jika sikap saling hormat menghormati tidak dikekalkan, nikmat kemakmuran ini mungkin tidak dirasai generasi akan datang.

“Kerana ini penting kepada kita saling hormat-menghormati menjadi amalan kita, tabiat kita bukan hanya kepada anak-anak bangsa pada hari ini tetapi generasi masa depan.

“Kita perlu melabur bukan hanya pada diri kita hari ini untuk nikmat yang ada tetapi kepada generasi yang akan datang, tiada ertinya kita selaku rakyat Malaysia merasai kemerdekaan ini, mencapai kebaikan ini tapi zuriat kita merempat di tanah sendiri,” jelasnya.

Mohd. Shafie berkata, tema Hari Kebangsaan 2019 iaitu Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih bukan sahaja melambangkan kebersihan dalam kehidupan seharian individu dan masyarakat tetapi melambangkan moral yang baik.

Sementara itu katanya, dalam semangat kemerdekaan ini, bukan hanya kekayaan Sabah yang perlu dikongsi kepada semua negeri tetapi Kerajaan Persekutuan juga perlu memikul tanggungjawab bersama membangunkan negeri ini.