Sabah Laksanakan Pengurusan Kewangan Berkesan; Pembangkang Bohong

Musa Aman – Gambar ihsan Berita Harian

KOTA KINABALU: Bajet lebihan selama 16 tahun sejak 2001 membuktikan kerajaan negeri telah melaksanakan pengurusan kewangan dengan efisien dan efektif.

Sehubungan itu Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Musa Aman meminta pembangkang agar tidak memberi kenyataan yang mengelirukan berkaitan Bajet 2018 Sabah, yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

“Semasa penyediaan anggaran peruntukan tambahan, anggaran yang disemak kadang kala menunjukkan kedudukan defisit tetapi suka saya nyatakan bahawa Akaun Hasil Yang Disatukan Kerajaan Negeri yang telah diaudit setiap tahun sebenarnya telah menunjukkan kedudukan bajet lebihan.

“Tetapi apabila wakil rakyat pembangkang menyatakan ia adalah bajet defisit sejak empat tahun lalu, ia adalah satu kenyataan yang mengelirukan.

“Ketua Audit Negara juga mengiktiraf bahawa pengurusan kewangan Sabah adalah yang terbaik sekali gus ini adalah bukti kita menguruskan kewangan dengan berkesan. Bukan seperti pembangkang yang bercakap bohong saja,” katanya dalam ucapan penggulungan untuk Kementerian Kewangan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Pada Jumaat lalu, Kerajaan Sabah membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM4.1 bilion sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara lima hingga 5.5 peratus dan anggaran hasil sebanyak RM4.169 bilion pada tahun depan.

Gambar ihsan Berita Harian

Bajet bertema ‘Memperkasakan Ekonomi, Mensejahterakan Rakyat’ itu mencatat lebihan RM64.89 juta, menjadikannya bajet lebihan keempat dibentangkan kerajaan negeri sejak tahun 2015.

Jumlah bajet yang disediakan pada tahun depan turut menyaksikan peningkatan ketara berbanding Bajet 2017 berjumlah RM3.784 bilion.

Dalam pada itu Musa turut menjelaskan bahawa penggubalan bajet tahunan bukanlah satu tugasan yang boleh dianggap sebagai remeh temeh.

“Untuk makluman semua wakil rakyat, penggubalan bajet memerlukan satu proses yang panjang dan dilakukan secara teratur.

“Bagi wakil rakyat dari pembangkang yang menyatakan Bajet 2018 tidak berbeza dengan bajet sebelum ini adalah tidak adil kepada pegawai kerajaan negeri yang telah bekerja keras dan bertungkus lumus dalam merancang, memproses dan menyiapkan Bajet 2018,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk memastikan kutipan hasil negeri adalah pada paras mampan untuk menampung keperluan perbelanjaan perbekalan dan pembangunan negeri.

“Usaha untuk meningkatkan pendapatan negeri bukan tanggungjawab Kementerian Kewangan sahaja, semua ini hanya dapat dicapai dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada semua yang terbabit termasuklah rakyat,” katanya. – Suzianah Jiffar dan Ryan Stanley/ bharian.com.my

BERITA ASAL: –

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/11/354108/kerajaan-sabah-laksanakan-pengurusan-kewangan-berkesan