Sabah Lahir Kekecewaan Agihan Vaksin Tidak Adil

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mula melahirkan kekecewaan berikutan agihan vaksin yang dilihat tidak adil dan tidak seimbang kepada Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin mahu kerajaan Pusat bersikap lebih adil dalam proses pengagihan vaksin ke negeri ini.

Beliau berkata, negeri ini mempunyai seramai 2.76 juta orang penduduk yang layak untuk menerima vaksin namun, bilangan penduduk yang telah divaksin hanya 13 peratus atau 358, 592 orang.

“Saya agak kecewa dengan kerajaan Pusat yang dilihat tidak adil dalam pengagihan vaksin di negeri Sabah, sekaligus memperlihatkan sistem pengurusan yang lemah.

“Saya juga ingin menggesa kerajaan Pusat agar mempercepatkan pemberian bekalan vaksin dan bersikap lebih telus mengenai agihan vaksin kerana masih ramai rakyat Sabah yang belum menerima janji temu vaksin sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, Sabah menjadi satu-satunya negeri yang jauh ketinggalan dalam pemberian vaksin Covid-19 berbanding negeri lain.

Bagi mencapai 40 peratus daripada populasi layak divaksin, maka unjuran baki bekalan vaksin ke Sabah bagi bulan Julai sehingga pertengahan Ogos perlu ditingkatkan kepada 1.489 juta dos.

Tambahnya, proses vaksinasi yang pantas akan membolehkan proses pemulihan ekonomi di Sabah dapat dilakukan dengan kadar segera.

Mengulas lanjut, kebergantungan ekonomi Sabah terhadap sektor pelancongan adalah tinggi. Maka, untuk membuka semula sektor pelancongan, 60 peratus rakyat di Sabah perlu divaksin.

“Apabila imuniti berkelompok dicapai menjelang Oktober, pastinya pelancongan domestik boleh membangun semula dengan pantas diikuti pembukaan sempadan negara sekaligus menerima kedatangan pelancong antarabangsa,” ujarnya.