Sabah Komited Perjuang Hak Orang Asal, Kata Shafie

5358

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus komited membantu memartabatkan masyarakat Orang Asal dengan memastikan mereka mendapat hak sebagai warganegara Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan memandang serius usaha mengiktiraf Orang Asal di kawasan luar bandar yang belum menjadi warganegara sehingga kini.

Katanya, komitmen kerajaan juga dilihat menerusi pelbagai perubahan dalam pentadbiran kerajaan termasuklah langkah mewujudkan Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Setelah beberapa bulan, kewujudan kementerian baharu itu mula membawa perubahan dalam perlantikan Ketua Adat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan).

Untuk mengangkat masyarakat Orang Asal ke tahap lebih baik, pertimbangan perlu dilakukan dalam melaksanakan undang-undang anak negeri, menambahbaik struktur mahkamah anak negeri serta mengunapakai sepenuhnya institut undang-undang anak negeri.

Disamping itu, Kerajaan Sabah juga sedang mempertimbangkan untuk menggantikan perkataan ‘native (Orang Asli)’ kepada ‘Indigenous (Orang Asal)’ bagi mematuhi apa yang terkandung dalam Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa (UNDRIP).

“Bagaimanapun, apabila kita ingin membuat keputusan tentang sesuatu, kita kena lihat kebaikan yang diperolehi rakyat. Saya tahu perubahan sebegitu pasti akan mendapat bantahan daripada sesetengah pihak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2019, di sini pada Jumaat.

Mohd Shafie turut melahirkan penghargaan atas Program Mahkamah Bergerak di Sabah yang berjaya membantu menyelesaikan 80,000 kes berkaitan kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, beliau percaya ramai antara kumpulan etnik di Sabah yang terlewat atau masih belum mendaftarkan dokumen anak-anak mereka. Mungkin ribuan daripada etnik Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Lundayeh di Long Pasia serta anak-anak tempatan di Pantai Timur yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri berikutan kelewatan mendaftar kelahiran.

Oleh itu, keadaan sebegini harus ditangani dengan sebaiknya sebelum ia mendatangkan kesukaran ketika mendaftar persekolahan anak-anak.

Program Mahkamah Bergerak yang dilaksanakan ketika Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum menjadi Ketua Hakim Sabah dan Sarawak itu diharap akan dapat diteruskan dibawah kepimpinan ketua hakim baharu iaitu Datuk Seri David Wong.

Berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memerlukan pandangan pengamal undang-undang, Mohd Shafie berharap anggota perundangan di Sabah akan sama-sama menyumbang kepakaran dengan mengemukakan idea dan cadangan terbaik dalam menuntut semula hak-hak negeri Sabah dalam MA63.

Beliau turut meminta Persatuan Undang-Undang Sabah terus memberi maklum balas yang konstruktif dalam membantu meningkatkan sistem penyampaian negeri untuk manfaat rakyat.