Sabah Komited Capai Sasaran NRW Ditetapkan, Peter

560
Gambar Hiasan – Dari Internet

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksana beberapa projek bagi memastikan sasaran penurunan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) sebanyak 49 peratus pada tahun ini dapat dicapai.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, sasaran NRW yang ditetapkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah pada kadar 49 peratus berbanding 52 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya program yang dirancang kementerian ini mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kementerian bercadang melaksanakan program-program NRW bagi kawasan Kota Kinabalu, Kudat, Tuaran, Tambunan dan Ranau di bawah peruntukan Kerajaan Negeri.

“Selain itu, bagi pelaksanaan projek NRW di daerah Keningau dan Beaufort pula diletakkan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan. Selain itu, projek NRW Nasional di bawah biayaan geran Persekutuan juga perlu dilaksanakan bagi menggantikan meter lama, tangki-tangki bocor dan sistem kawalan serta pemantauan operasi agihan air,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Infrastruktur sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Mengenai masalah bekalan air di Ranau yang menjejaskan hampir 4,000 penduduk, Peter berkata, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah meluluskan Projek Mengatasi Sumber Air di daerah Ranau, iaitu Pasca Gempa Bumi di bawah Rolling Plan keempat (RP4) 2019 dengan kos anggaran sebanyak RM23 juta.

“Kementerian itu sedang memuktamadkan terma dan rujukan (TOR) bagi melantik perkhidmatan juruperunding pada Mei ini. Ia bagi melaksanakan kerja-kerja kemungkinan bagi mengesyorkan opsyen-opsyen yang terbaik dan sesuai bagi mengatasi masalah sumber air di daerah Ranau. Kajian itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan,” jelasnya.

Mengenai isu bekalan air di kawasan tanah tinggi yang sehingga kini belum mendapat bekalan air terawat, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap ini berkata, penyaluran bekalan air terawat ke sesuatu kawasan bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi.

Disamping itu, faktor lain seperti bilangan penduduk juga akan diambil kira kerana ia akan mempengaruhi kos efektif bagi sesuatu projek itu dilaksanakan.

Kemudian mengenai isu pembacaan meter bagi akaun pengguna domestik, JANS sudah memulakan pembacaan meter dua bulan sekali secara berperingkat di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, berkenaan hutang berkumpul bagi akaun pengguna domestik, JANS akan mengunapakai kaedah pembayaran secara ansuran bagi mengatasi isu pembayaran bil air tertunggak.