Sabah Kembali Ke Zon Merah, Nabawan Daerah Tunggal Masih Jingga

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 1,255 kes positif baharu Covid-19 dengan dua kluster baharu hari ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, hampir semua daerah di Sabah sudah beralih kepada zon merah dan hanya Nabawan sahaja satu-satunya berada dalam zon jingga.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, terdapat dua kluster baharu hari ini iaitu kluster Sarikan Nabawan dan kluster Lebuh Empat Sandakan.

Beliau berkata, kontak rapat kekal menjadi penyumbang terbesar dengan 618 kes positif diikuti 247 kes positif bagi kategori bergejala dan 131 kes daripada kluster baharu dan sedia ada.

Katanya, saringan bersasar di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyumbang sebanyak 187 kes positif atau 15 peratus daripada keseluruhan kes.

Secara keseluruhan, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tinggi dengan 241 kes diikuti Tawau 135 kes, Tuaran 143 kes, Beluran 123 kes dan Sandakan 108 kes.

Tambahnya, 38 kes baharu hari ini melibatkan tahanan di penjara atau pusat tahanan sementara (PTS) sementara menunggu diusir pulang ke negara asal.

Dengan 1,255 kes baharu hari ini, kumulatif kes Covid-19 di Sabah menjadi 92,456 kes manakala, 13 kes kematian direkodkan hari ini.

Seramai 4,449 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,085 orang di hospital dan 3,337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)/penjara manakala, lapan orang di fasiliti swasta.

Bilangan pesakit dalam unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 132 orang dan 54 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.