Sabah Kembali Catat Kes di Bawah 500

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan penurunan kes di bawah paras 500 kes hari ini dengan 497 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daripada 497 kes itu, sebanyak 259 atau 52.1 peratus adalah kes yg berlaku sepanjang 24 jam yang lalu manakala, 208 kes atau 41.8 peratus merupakan kes lewat daftar.

Beliau berkata, saringan bergejala kekal menyumbang kes tertinggi dengan 33.2 peratus, manakala 291 kes atau 58.3 peratus merupakan kes yang dikesan melalui saringan kontak rapat.

Hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan lebih daripada 50 kes seperti semalam dengan 71 kes, diikuti Kota Belud 48 kes, Tuaran 36 kes, Tenom 32 kes dan Papar 27 kes.

“Keberkesanan vaksin terbukti apabila 95.2 peratus atau 473 pesakit berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2 iaitu pesakit yang mengalami simptom ringan atau tidak ada simptom sama sekali walaupun dijangkiti virus Covid-19.

“Pesakit dalam Kategori 3 cuma empat orang, seorang dalam Kategori 4 dan dua orang dalam Kategori 5. Sementara itu, 17 kes lagi masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun sudah melengkapkan pengambilan vaksin, orang ramai disaran untuk terus mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, mereka yang telah lengkap divaksin tidak kebal daripada jangkitan virus.