Sabah Kekal Komited Wujudkan 30 Peratus Kawasan TPA Menjelang 2025 – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus komited untuk meningkatkan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di bawah inisiatif Heart of Borneo (HoB), meliputi 30 peratus keluasan negeri menjelang tahun 2025.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata ketika ini 26 peratus daripada keluasan tanah di Sabah atau 1.9 juta hektar telah diwartakan sebagai TPA di bawah inisiatof HoB.

Berucap dalam persidangan maya pertama “HoB Initiative – Moving Forward in the New Norm” di sini hari ini beliau berkata Sabah telah mencapai kemajuan ketara dalam pemuliharaan hutan sejak pelaksnaan inisiatif HoB 14 tahun lepas.

Katanya sasaran peluasan kawasan TPA itu adalah selaras dengan rancangan pembangunan lima tahun Sabah, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 – 2025 yang turut merangkumi inisiatif HoB dalam aspek berkaitan Green Infrastructure and Sustainability Networks.

“Menerusi usaha bersepadu kami, Sabah telah mengekalkan 50 peratus kawasan tanahnya di bawah liputan hutan, dan kita turut meningkatkan liputan hutan kepada 65 peratus dengan 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai Hutan Simpan, Kawasan Taman dan Pemuliharaan Hidupan Liar. Projek HoB juga telah memulihkan 2,000 hektar hutan simpan,” katanya.

Hajiji berkata Sabah akan melaksanakan Pengurusan Landskap Bersepadu Landskap Heart of Borneo di bawah Program Kesan-kesan Penggunaan Tanah dan Pemulihan yang dibiayai oleh Global Environment Facility, Sistem Makanan, Guna Tanah dan Pemulihan, yakni sebuah projek yang memfokuskan kepada pengurusan pembangunan alam sekitar dan tanah.

“Projek enam tahun itu melibatkan kawasan seluas 1.6 juta hektar dalam landskap HoB, dan menelan belanja USD7.3 juta (RM30.3 juta) yang dibiayai oleh Global Environment Facility, di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP). Sabah juga akan terlibat dalam satu lagi program yang dibiayai UNDP, yakni projek BIOFIN, mengenai Pembiayaan Pemuliharaan di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan Sabah telah menubuhkan pasukan taktikal elit bernama PROTECT, skuad anti pemburuan haram khas untuk membantu logistik penguatkuasaan, dan pasukan itu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia melalui Operasi Khazanah, untuk menangani isu-isu yang berkaitan pencerobohan hutan.

“Bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan, kami telah membawa penglibatan komuniti tempatan untuk berkhidmat sebagai Renjer Hutan Kehormat, dan hari ini kami mempunyai 112 Renjer berkenaan dengan 700 daripadanya terdiri daripada penduduk kampung,” katanya sambil menambah bahawa Sabah telah menjadi tuan rumah 42 ekspedisi saintifik dalam sempadan HoB termasuk 1,800 pelajar tempatan dari 34 sekolah yang terlibat dalam program kesedaran HoB.

Sementara itu Hajiji berkata persidangan tahun ini akan membantu kerajaan mengumpul sumber bagi merangka Pelan Tindakan Strategik (SPA) ketiga bagi inisiatif itu, dan SPA yang pertama kali disediakan pada 2013 itu akan siap menjelang 2022.

Katanya beliau turut gembira melihat usaha berterusan dalam aspek penyelidikan oleh saintis dan penulis di HoB yang telah menghasilkan beberapa penerbitan seperti yang dibuktikan dengan penerbitan dua buku baharu oleh Markus Gubilil bertajuk “A Checklist of Trees of Sabah – new edition” dan “Panduan Bergambar Likofit dan Paku Pakis di Sabah.”