Sabah Jadi Tumpuan Peserta Kongres Taman Asia

KOTA KINABALU: Selepas dua tahun dunia dilanda pandemik Covid-19, Sabah kini menjadi tumpuan kira-kira 1,000 peserta Kongres Taman Asia yang datang daripada 45 negara di seluruh Asia.

Melalui Kongres Taman Asia (APC) ini, pakar-pakar dalam pemuliharaan alam sekitar akan mengenal pasti langkah terbaik yang boleh digunakan bagi melindungi kawasan taman dan taman marin.

Pelbagai topik akan dibincangkan dalam forum bagi pakar berkongsi pengetahuan dan pengalaman daripada Orang Asal bagi mengenal pasti pendekatan terbaik memulihara kawasan perlindungan tanpa menjejaskan kehidupan Orang Asal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah berada di landasan yang tepat dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memperluaskan kawasan perlindungan taman di daratan dan lautan.

Beliau berkata, selaras dengan matlamat SDG, setiap kerajaan perlu mempunyai 30 peratus kawasan dilindungi sama ada di daratan mahupun lautan menjelang 2030.

“Pada masa ini, Malaysia antara 12 negara yang mempunyai kepelbagaian bio yang terbesar di dunia yang menempatkan 15,000 spesis tumbuhan, 306 spesis mamalia, 242 spesis amfibia, 742 spesis burung, 567 reptilia, 449 spesis ikan air tawar dan 1,619 spesis ikan air masin.

“Sabah dan Sarawak juga kaya dengan hutan hujan tropika yang menjadi rumah kepada 291 spesis pokok ‘dipterocarps’,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan semasa perasmian Kongres Taman Asia Kedua, kelmarin.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), Dr. Grethel Aguilar dan Pengerusi Suruhanjaya Kawasan Perlindungan IUCN Sedunia, Madhu Rao.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah komited memastikan inisiatif yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah SDG mampu dicapai.

Justeru, pada masa ini, dua lagi taman marin di Sabah sedang dalam proses pewartaan iaitu Taman Pulau Mantanani, Kota Belud dengan kawasan seluas 196,998 hektar dan Taman Teluk Darvel, Lahad Datu dengan kawasan seluas 103,393 hektar.

Di samping itu katanya, Sabah juga merancang memperluas kawasan taman di bawah UNSDG15 dengan menjadikan tanah tinggi Long Pasia sebagai taman teresterial.

Jafry berkata, kawasan yang dilindungi di Sabah membabitkan kawasan seluas 1.9 juta hektar atau 25 peratus daripada kawasan hutan di negeri ini. Menjelang 2025, Sabah menyasarkan untuk mencapai 30 peratus kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA).

Maka, pada tahun 2025, Sabah harap dapat mewartakan tambahan kawasan seluas 1.026 juta hektar agar sasaran 30 peratus TPA itu mampu dicapai.