Sabah Hargai Penugasan Unit Platun Tiger Bantu Lindungi Hidupan Liar

149

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melahirkan penghargaan atas inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menugaskan Unit Platun Tiger, Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam membantu mengawal keselamatan dan melindungi hidupan liar termasuk gajah pygmy di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, usaha Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk membantu Kerajaan Sabah dalam mengawal dan menjaga keselamatan hidupan liar dan gajah pygmy yang ada di negeri ini sangat dihargai.

“Kita tahu dari segi tenaga manusia dan penguatkuasaan kita agak terbatas. Maka, dengan adanya bantuan Unit Platun Tiger yang mungkin mempunyai kepakaran dan kebolehan, ia sedikit sebanyak akan membantu kita.

“Kita amat mengalu-alukan dan menghargai bantuan yang diberikan Tan Sri dalam menghantar polis membantu kita menjalankan usaha penguatkuasaan,” katanya.

Bantuan kepakaran Unit Platun Tiger, PGA itu dilihat akan membantu membendung isu pembunuhan dan kematian gajah di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Pertanian 2021-2030 di Auditorium Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini  pada Selasa.
Ketua Polis Negara pada Isnin memaklumkan Unit Platun Tiger, PGA akan dikerahkan pada barisan pertama bagi membantu menangani isu pemburuan haram di Sabah dan Sarawak.

Katanya, usaha itu seiring dengan komitmen PDRM dalam Op Khazanah seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Menurutnya, unit berkenaan akan mengadakan rondaan, serbuan dan menjejak pemburu haram secara bersama dengan pihak berkuasa seperti Jaatan Hidupan Liar Sabah dan Taman-Taman Sabah.

Usaha memerangani pemburu haram di Sabah ini berikutan insiden tiga ekor gajah pygmy ditemukan mati di Sabah dalam tempoh lima minggu.

Pada Ahad, satu lagi bangkai gajah ditemukan di Sungai Kinabatangan dengan kedua-dua pergelangan kaki belakang gajah pygmy itu dipotong.

Itu adalah penemuan ketiga selepas dua insiden gajah mati dibunuh masing-masing di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan (Tawau) pada 25 September dan di sebuah ladang sawit di Beluran (Sandakan) pada 19 Oktober.

BERITA BERKAITAN :-

Polis Kerah Tiger Platoon Tangani Pemburu Haram Di Sabah, Sarawak