Sabah FC Jangan Leka Atas Dua Kemenangan – Ketua Jurulatih

KOTA KINABALU: Pemain Sabah FC diingatkan untuk tidak leka dengan dua kemenangan berturut-turut ketika menentang Perak FC dan Melaka United di Stadium Likas baru-baru ini, sebaliknya kekal fokus menghadapi perlawanan akan datang, kata Ketua Jurulatihnya Kurniawan Dwi Yulianto.

Beliau berkata, pemain-pemain perlu positif serta terus fokus bagi menghadapi perlawanan penting menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, sekali gus mencipta sejarah di hadapan penonton sendiri di Stadium Likas di sini malam esok.

“Jangan menoleh ke belakang lagi, dalam erti kata lain tidak boleh terlampau larut dengan kemenangan. Kita harus fokus, saya selalu berpesan bahawa setiap permainan adalah perlawanan akhir.

“Mahu tidak mahu kita kena kerja keras serta fokus, untuk dapat memaksimakan tiga mata dalam perlawanan di tempat sendiri menentang Kedah Darul Aman FC malam esok,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Sabah FC sebelum ini menewaskan Perak FC dengan 2-1 dan Melaka United 3-1 dalam perlawanan Liga Super, kedua-duanya di Stadium Likas di sini dan pasukan The Rhinos itu kini menduduki tempat ketujuh liga dengan 16 mata.

Kurniawan berkata, KDA FC menduduki tempat ketiga dalam Liga Super dan bukan pasukan biasa, kerana mereka merupakan pasukan yang mempunyai mutu permainan yang tinggi, selain memiliki barisan pemain-pemain yang hebat.

“Jadi kita tidak boleh membuat kesilapan, yang akhirnya membahayakan untuk pasukan sendiri dan pemain harus kerja keras,” katanya.

Kurniawan berkata, setakat ini semua pemain berada dalam kondisi bersiap sedia untuk diturunkan malam esok, dan sehingga kini senarai kesebelahan utama belum dapat dimuktamadkan.

“Hanya ada tiga pemain yang saat ini masih belum bisa bergabung dengan pasukan iaitu N.Thanabalan, Ariusdius (Jais) dan Hamran (Peter) kerana masih direhatkan, mereka masih belum dapat beraksi dalam perlawanan esok menentang Kedah FC,” katanya.