Sabah Dukung Prinsip Kebebasan Beragama Kata Ketua Menteri Musa

MUSA AMAN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mendukung prinsip kebebasan beragama terutama di Sabah, dan memandang serius apa-apa isu yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat yang menganuti agama yang berbeza di negeri ini, kata Ketua Menteri Musa Aman.

Justeru, beliau mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengatasi apa-apa kelemahan sedia ada dalam pengeluaran MyKad termasuk tersilap memasukkan perkataan Islam pada pemegang kad pengenalan yang bukan beragama Islam.

Beliau juga mahu JPN mengemukakan laporan penuh mengenai sejauh mana masalah tersebut berlaku di Sabah dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kesilapan itu daripada berlaku.

“Ini nampaknya seperti masalah pentadbiran. Namun begitu, saya mahu masalah itu diatasi secepat mungkin oleh pihak berkuasa berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari Khamis.

REVEREND JERRY DUSING

Beliau berkata demikian susulan kenyataan oleh Presiden Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah, Reverend Jerry Dusing yang baru-baru ini mendakwa JPN memasukkan identiti yang silap pada bukan Islam pada MyKad mereka.

Musa berkata walaupun terdapat kelemahan dalam JPN, isu itu tidak harus diperbesar-besarkan.

“Sesetengah pihak tidak harus begitu cepat mendakwa bahawa kerajaan negeri membenarkan radikalisme agama bertapak terlalu lama tanpa dibendung, menyokong ketidak toleransi agama dan rasuah serta kegiatan jenayah seperti penculikan,” kata beliau.

“Biar saya menjelaskan bahawa tidak ada ruang untuk ketidak toleransi agama atau kaum di Sabah. Negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama dengan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi berjuta-juta ringgit kepada gereja dan sekolah mubaligh serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan kuil.