Sabah Disaran Kenakan Cukai Jualan Minyak Dan Gas

135
SADDI A RAHMAN

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran agar mengambil langkah sama seperti Sarawak untuk mengenakan Cukai Jualan ke atas aktiviti petroleum dan gas berkuat kuasa Januari tahun depan.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman semasa sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah mengenakan cukai jualan itu akan membantu menambah pendapatan hasil kepada Kerajaan Sabah pada masa akan datang.

Katanya, levi cukai itu juga boleh dikenakan ke atas beberapa sumber termasuk minyak mentah, gas mentah, gas asli cecair, baja berasas kimia dan gas produk cecair.

“Ini berdasarkan anggapan bahawa pelantar benua itu milik Sabah dan minyak diperoleh Petronas adalah dari pelantar benua Sabah. Maka, cukai jualan seharusnya menjadi hak negeri Sabah dan sewajarnya dikenakan ke atas produk petroleum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saddi juga mencadangkan agar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dimansuhkan bagi membenarkan penggubalan akta baharu yang dapat memberi agihan lebih adil kepada negeri pengeluar minyak seperti Sabah dan Sarawak.

Beliau juga mahu Kerajaan Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya meningkatkan pembayaran royalti minyak dan gas kepada 20 peratus berbanding hanya lima peratus pada ketika ini.

Pembayaran royalti itu sudah dijanjikan dalam Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14, maka janji itu harus ditunaikan.

Pembayaran royalti yang besar itu akan membolehkan ekonomi Sabah dapat dipertingkatkan dan lebih banyak pembangunan boleh dilaksanakan.