Sabah Diminta Bentang Cadangan Projek Sektor Pengangkutan

Datuk Kamarudin Jaffar, kanan, mau Sabah membentangkan cadangan projek pembangunan berkaitan sektor pengangkutan secara terperinci untuk dipertimbang dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

KOTA KINABALU: Semua Kerajaan Negeri termasuk Sabah diminta membentangkan cadangan projek pembangunan berkaitan sektor pengangkutan secara terperinci kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbang dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin berkata, ini adalah masa terbaik untuk setiap Kerajaan Negeri membentangkan pelan pembangunan sektor pengangkutan negeri kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang sedang membuat perancangan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi mengenal pasti projek perlu dimulakan dan diberikan peruntukan untuk tahun hadapan.

DATUK KAMARUDIN JAFFAR

“Saya yakin inilah masa terbaik bagi Kerajaan Negeri dan kementerian membuat pembentangan (mengenai pembangunan sektor pengangkutan negeri masing-masing),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Forum Sabah Port Kedua di sini, hari ini.

Forum dua hari itu dirasmikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan turut dihadiri Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd Tan Sri Ibrahim Menudin.

Kamarudin ketika ditanya mengenai hasrat Sabah membina landasan kereta api dari Kota Kinabalu ke Kudat berkata, pihaknya belum mendapat maklumat secara khusus dan terperinci mengenai cadangan itu, namun, beliau optimis projek itu akan dipertimbangkan secara baik sekiranya ia dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah di peringkat Pusat.

“Sekiranya ia (projek pembinaan landasan kereta api itu) tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2020, ia akan dimasukkan dalam perancangan RMK12 yang juga bermula pada tahun akan datang,” katanya.

Pada Jun lepas, Mohd Shafie berkata, pembinaan landasan kereta api adalah penting dalam usaha menambahbaik sekali gus melonjakkan potensi sektor pelabuhan di Sabah selain sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada lori kontena serta lori tangki dan memudahkan penghantaran barangan eksport ke pelabuhan tanpa perlu melalui jalan raya sibuk dan sesak terutama di Sepanggar.

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata pembinaan landasan kereta api sepanjang 175 kilometer yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Kudat adalah tepat dan mampu direalisasikan untuk memenuhi keperluan rakyat di Pantai Barat dan Pantai Utara Sabah.

Kamarudin berkata, Kementerian Pengangkutan akan sentiasa mengkaji, memperbaiki dan meningkatkan lagi kaedah tiga mod pengangkutan iaitu darat, udara dan laut di setiap negeri bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Kamarudin berkata, Kerajaan Persekutuan terus menyokong industri pelabuhan dan perkapalan di Sabah dan komited ke atas dana kemudahan bagi inisiatif pemunggahan di Pelabuhan Kontena Tanjung Sapangar kerana terdapatnya potensi di belakang strategi itu yang akan mewujudkan pemangkin untuk Sabah dan daerah di sekitar untuk maju.

Beliau berkata, terdapat keperluan bagi Sabah untuk menangani dan mengkaji sistem pengangkutan sedia ada dan memperkenalkan model yang baru atau dipertingkatkan seperti kereta api atau transit aliran ringan untuk mengatasi kesesakan jalan raya yang semakin meningkat serta menghubungkan kawasan pedalaman dan hab logistik.

Sabah perlu serius dalam mengatasi dan menyelesaikan isu pengangkutan sedia ada dan berusaha mengadakan sistem pengangkutan yang menyokong penuh proses logistik dan pergerakan orang ramai dan barangan, dengan cekap dan kos efektif, tambah beliau.