Sabah Dilandasan Tepat Urus Pembangunan Alam Sekitar Lestari

JONISTON BANGKUAI

KOTA KINABALU: Sabah berada pada satu landasan yang tepat dan sekata dalam menguruskan alam sekitar secara lestari, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Pengamalan tadbir urus yang baik, instrumen perundangan yang ampuh, penguatkuasaan menyeluruh, dan pendidikan dan kesedaran secara berterusan telah menyumbang kepada prestasi ini, katanya.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata sedemikian pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

“Tidak dinafikan bahawa terdapat peningkatan signifikan kepada status kualiti alam sekitar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan rakyat Malaysia menikmati persekitaran yang lebih sihat termasuk udara yang bersih.

“Ini menunjukkan bahawa manusialah yang menjejaskan keseimbangan dan keharmonian alam, tetapi alam itu sendiri mempunyai kuasa kendiri untuk sembuh. Cabaran bagi kita kini adalah untuk memulihkan kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan kualiti alam sekitar.

“Justeru, dalam mendepani cabaran dan merungkai masalah pencemaran alam sekitar, sinergi antara agensi-agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri harus terus digembleng melalui aktiviti penguatkuasaan yang menyeluruh dan mengekalkan momentum yang sedia ada,” katanya.

Joniston turut berkata KePKAS menjalinkan kerjasama bersama agensi-agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pertandingan pengumpulan ‘household e-waste’ di kalangan 11 PBT yang terpilih di negeri Sabah.

PBT yang terlibat adalah Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Beaufort, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Sipitang, Beluran, Keningau, dan Papar.

“Rentetan daripada program ini, kita lihat semakin banyak pusat-pusat pengumpulan ‘household e-waste’ yang diwujudkan.

“Ini sekaligus memudahkan orang awam untuk melupuskan sisa buangan elektrik dan elektronik daripada isi rumah mereka, seterusnya membantu melestarikan alam sekitar di peringkat komuniti di bandar dan luar bandar.

Turut hadir adalah Seriausaha Tetap KePKAS permanent secretary, Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Amirul Aripin; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Sabah Vitalis J. Moduying; dan Ketua Petronas Sabah and Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.

TAMAT.