Sabah Diiktiraf Badan Antarabangsa Sebagai Sebahagian Dalam Malaysia

147

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tuntutan Kerajaan Filipina ke atas Sabah tidak seharusnya ditimbulkan sekali lagi berikutan Sabah secara jelas memang sebahagian dari Malaysia seperti ditetapkan dalam referendum pembentukan Malaysia pada 1962.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pengiktirafan itu dibuat oleh badan antarabangsa maka, isu tuntutan sebegitu tidak akan dipedulikan.

Beliau berkata, sebelum pembentukan Malaysia, pandangan rakyat tempatan telah diambil kira oleh sebuah badan antarabangsa.

”Saya dengan emak saya berada di Semporna semasa Suruhanjaya Cobbold mengambil kira pandangan orang tempatan.

”Semuanya sudah jelas dan keputusan yang sah telah dilakukan oleh badan antarabangsa,” katanya ketika diminta mengulas tentang kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodro Locsin Jr mengenai tuntutan terhadap Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal bertukar pendapat dengan pengarah Saham Amanah Sabah.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan Malaysia menolak sepenuhnya kenyataan dikeluarkan itu. Kementerian ini menyatakan Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap Sabah.

Kemudian ditanya adakah disebabkan tuntutan itu Filipina tidak menubukan Konsulat Filipina di Sabah, Mohd Shafie berkata, Sabah hanya akan menguruskan perkara yang terletak dibawah bidang kuasa Kerajaan Sabah.

”Mereka (warga Filipina) yang datang ke Malaysia boleh datang sebagai pelancong dan pekerja tapi mereka kena mendapatkan permit kerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie mengumumkan agihan pendapatan interim pertama Saham Amanah Sabah (SAS) 2019 pada 2.4 peratus atau RM2.40 sen seunit bersih.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, SAS memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM36.02 juta setakat 6 September 2019.

Untuk tahun ini, pendapatan interim itu akan melibatkan pembayaran wang tunai sejumlah RM29.55 juta berdasarkan bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh pelabur sebanyak 1.23 bilion.

Beliau berkata, agihan dividen 2.4 peratus itu cukup memuaskan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil pada masa sekarang.

Katanya, keupayaan SAS dalam menyediakan dividen itu cukup menggalakkan. Dalam tempoh 10 tahun ini, kadar dividen yang tertinggi adalah sebanyak lima peratus.