Sabah Dihukum, Sarawak Tuan Rumah Hari Malaysia Sekali Lagi

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melakukan apa sahaja untuk memberi pengajaran kepada Sabah disebabkan kerajaan negeri tidak menyokong PN.

Terbaharu, sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 September depan diadakan di Sibu, Sarawak, seperti dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan dilaporkan Bernama semalam.

Jika mengikut kepada penggiliran yang diamalkan, sambutan Hari Malaysia sepatutnya diadakan di Sabah selepas tahun 2019 Sarawak menjadi tuan rumah. Sabah adalah tuan rumah pada 2018.

Tahun lalu, Hari Malaysia yang diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, politik nampaknya menjadi keutamaan kerajaan Muhyiddin ketika ini sehingga Sabah dihukum daripada menjadi tuan rumah sambutan itu.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri dan seluruh rakyat Sarawak yang sudi menjadi tuan rumah sambutan hari bersejarah itu buat kali kedua berturut-turut.

“Sambutan pada tahun ini akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan diadakan di dalam kawasan tertutup seperti hotel dan kehadiran adalah berdasarkan jemputan,” kata Saifuddin.