Sabah Dapat 13 Kerusi DUN Tambahan

375

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi menambah DUN Sabah daripada 60 kepada 73 kawasan DUN.

Usul tersebut diluluskan setelah mendapat sokongan semua 158 yang hadir dalam perbahasan yang melibatkan Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat pada hari ini berkata, penambahan kerusi akan membolehkan suara, permasalahan dan isu-isu rakyat di kawasan terpencil dapat diwakili dengan lebih berkesan.

Pada masa yang sama, ia turut dapat melancarkan pengurusan di samping pentadbiran yang efisien di kawasan-kawasan DUN baharu yang terlibat.

“Walaupun terdapat kawasan di Sabah yang tidak mempunyai ramai pengundi, namun ia penting bagi memastikan mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi”.

“Terdapat kes-kes tertentu di mana rakyat tidak dapat mengundi kerana apabila sampai di pusat pengundian, ia telah di tutup kerana waktu pengundian telah tamat “.

Melalui persempadanan baru, DUN Sabah  mendapat 13 kerusi tambahan iaitu Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Penambahan kerusi DUN tersebut akan menyaksikan enam kerusi majoriti penduduk Islam, dua kerusi majoriti Bumiputera bukan Islam dan satu kerusi majoriti Cina. Empat lagi adalah kerusi campuran.

Kerusi majoriti pengundi Islam itu adalah Pintasan (di bawah Parlimen Kota Belud), Tanjung Dumpil (Putatan), Pantai Dalit (Tuaran), Sungai Manila (Libaran), Lamag (Kinabatangan) dan Kukusan (Kalabakan).

Dua kerusi majoriti Bumiputera bukan Islam pula adalah Dambai (Papar) dan Tulid (Pensiangan). Empat kerusi campuran berkenaan adalah Bengkoka (Kudat), Darau (Sepanggar), Telupid (Beluran) dan Mengaris (Kota Marudu).

Manakala kerusi tunggal majoriti Cina adalah DUN Segama di Silam.

Di peringkat negeri, DUN Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Ogos 2016.

Sabah adalah negeri yang luas, dengan taburan penduduk sederhana dan sememangnya memerlukan penambahan kerusi DUN.

BERITA BERKAITAN: –

Tambahan 13 Kerusi DUN Sabah Beri Manfaat Kepada Rakyat – Tun M