Sabah dan Labuan Mula Dilanda Jerebu

223

KOTA KINABALU: Kesan jerebu akibat pembakaran terbuka di Kalimantan, Indonesia mula melanda Labuan dan Sabah hari ini dengan beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Labuan mencatatkan bacaan IPU 82 berbanding 72 di Kota Kinabalu, Sandakan (58) dan Tawau (55).

Kualiti udara di Labuan menunjukkan bacaan IPU 74 pada Sabtu.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu, di kebanyakkan kawasan pantai barat Sabah serta Sandakan dan Tawau, kualiti udara agak berjerebu walaupun IPU masih berada di tahap sederhana.

Pembakaran terbuka yang berlaku di Kalimantan itu dijangka menyebabkan jerebu di kepulauan Borneo untuk beberapa hari.

Kawasan selatan negeri Sarawak adalah yang paling terjejas teruk jika pembakaran terbuka tersebut tidak dihentikan.