Sabah Dalam Landasan Tepat Ketuai Negara Lain Laksanakan Konservasi Hutan

148

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah berada dalam landasan yang tepat untuk muncul sebagai wilayah yang mengetuai negara lain di dunia dalam melaksana usaha konservasi hutan.

Pengarah Konservasi World Wildlife Fund (WWF) Malaysia Henry Chan berkata, polisi Sabah untuk melindungi 30 peratus hutan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menjayakan usaha konservasi hutan.

“Sehingga kini 26 peratus hutan di Sabah berada dalam TPA. Hanya tinggal empat peratus sahaja lagi untuk mencapai sasaran itu.

”Dengan polisi berkenaan, Sabah mengetuai negara lain di dunia dalam usaha konservasi,” katanya kepada pemberita selepas Kunjungan Hormat WWF Malaysia kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Kunjungan Hormat itu diketuai oleh Pengerusi WWF Malaysia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Mukriz.

Henry berkata, banyak organisasi lain di dunia melihat Sabah sebagai contoh terbaik dalam menjalankan usaha konservasi hutan.

Menurutnya, berkemungkinan suatu hari kelak Sabah akan mempersijilkan produk hutan dan sawit yang dikeluarkan dari negeri ini.

Henry berkata, dalam kunjungan itu, WWF mempromosikan dua inisiatif kepada Kerajaan Sabah bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar seperti gajah dan Orang Utan serta langkah melindungi terumbu karang di Sabah yang berdepan ancaman pengeboman ikan.

Beliau berkata, WWF bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Sabah bagi melihat kepada langkah penyelesaian kepada konflik melibatkan manusia dan hidupan liar serta hidupan marin di negeri ini.

Katanya, WWF juga akan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pemuliharaan Orang Utan, gajah pygmy dan penyu di negeri ini terus dilaksanakan.

Sementara itu, Tunku Ali berkata, WWF sudah berada di Sabah sejak 1972 dan banyak inisiatif telah dilakukan.

Katanya, dalam kunjungan itu, WWF membincangkan tentang inisaitif utama untuk menangani isu di perairan Semporna serta konflik melibatkan manusia dan gajah.