Sabah Congak Barisan Pemain Berdepan UiTM FC – Ketua Jurulatih

KOTA KINABALU: Menjelang pertemuan dengan  UiTM FC di laman sendiri pada Sabtu ini, Ketua Jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto masih mencongak barisan pemain yang sesuai bakal diturunkan bagi memastikan tiga mata penuh dalam genggaman.

Menurut Kurniawan, beliau perlu memilih pemain yang dapat mengimbangi corak permainan pasukan lawan kerana berdasarkan analisis terhadap aksi UiTM FC sebelum ini, pasukan tersebut bukan mudah untuk ditewaskan, malah Sabah FC memerlukan perancangan rapi untuk menembusi kubu pasukan lawan itu.

“Pada perlawanan itu, UiTM FC mungkin lebih defensif tetapi pada masa sama semua pemain akan cuba merancang bagaimana untuk memecahkan benteng pertahanan UiTM untuk menjaringkan gol.

“Kita berharap semua pemain bekerja keras termasuk lebih bersabar sekali gus dapat mencipta kemenangan nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sabah FC kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan enam mata, manakala UiTM FC di kedudukan terakhir dengan hanya mengutip satu mata.

Mengulas mengenai barisan kesebelasan utama skuad The Rhinos itu nanti, Kurniawan berkata beliau akan menggunakan tempoh dua hari ini bagi memilih pemain yang sesuai.

Beliau berkata Sabah FC tidak akan sesekali memandang mudah cabaran bakal diberikan UiTM FC dalam perlawanan di Stadium Likas itu.

“Kita tekankan di sini, tidak ada jaminan pemain dalam kesebelasan utama. Siapa pun yang siap (menunjukkan prestasi yang baik) dalam latihan dan memberikan kemampuan mereka 100 peratus dalam latihan mereka yang akan bermain,” katanya.