Sabah Catat Sifar Kes Covid-19 Selama Dua Hari Berturut-Turut

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Tiada kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini selama dua hari berturut-turut.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, Sabah kekal mencatat 415 kes positif secara keseluruhan dan daripada jumlah itu, seramai 390 kes telah dilaporkan pulih setakat ini.

FRANKIE POON

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kes pulih dan kematian dilaporkan hari ini.

Katanya, masih terdapat 17 kes yang dirawat di hospital berpakar di seluruh Sabah.

Sementara itu, di peringkat nasional, sebanyak 20 kes baharu dilaporkan yang melibatkan 13 kes tempatan dan tujuh kes import.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak berkenaan sebanyak 9,149.

Tambah KKM, tiada kes kematian berkaitan virus itu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kekal 125 kes.