Sabah Catat 364 Kes Positif COVID-19

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan 364 kes direkodkan hari ini.

Ini merupakan kes terendah yang dilaporkan sejak beberapa bulan lalu. Walau bagaimanapun, peratusan kes bergejala kekan tinggi dengan 38.2 peratus daripada keseluruhan kes yang dicatatkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes bergejala yang tinggi ini menandakan kegagalan dan kealpaan masyarakat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya semasa berkumpul atau berada dalam khalayak ramai.

Ini terbukti melalui dapatan daripada punca kluster-kluster baharu yang muncul sekali sekala. Adalah diharapkan agar seluruh masyarakat mengambil berat keperluan mematuhi semua SOP tatkala Sabah melangkah ke Fasa 4 PPN.

Beliau berkata, daripada 364 kes hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan 78 kes positif, diikuti dengan Tuaran 42 kes, Kota Belud 33 kes, Tawau 30 kes dan Tenom 26 kes.
Masidi berkata, 98 peratus kes hari ini adalah pesakit-pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2 manakala, dua orang pesakit sahaja dalam Kategori 3. Bagi kategori 4, terdapat dua orang pesakit dan seorang dalam Kategori 5.

Sementara itu, tiga kes lagi masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. Daripada 364 kes, 96.2 peratus merupakan pesakit warganegara Malaysia.