Walaupun kes di negeri ini dilihat semakin stabil namun, lebih banyak daerah di Sabah mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes di Kota Kinabalu meningkat lebih dua kali ganda kepada 28 kes hari ini, berbanding hanya sembilan kes kelmarin.
Ia diikuti Penampang dengan 19 kes, Tuaran 18 kes, Kota Belud 15 kes, Sandakan 13 kes dan Papar 11 kes.
Sementara itu, semua daerah lain mencatatkan kes baharu satu angka termasuk sembilan daerah yang masing-masing mencatatkan satu kes sahaja manakala, Keningau, Pitas dan Kalabakan tidak merekodkan sebarang kes baharu.
Katanya, daripada 156 kes baharu itu, 150 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, tidak ada pesakit dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5. Dua kes lain masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Berdasarkan kepada statistik kes harian pada kelmarin, jangkaan kadar kebolehjangkitan Covid atau R0/RT bagi seluruh negara ialah 0.91 dan bagi negeri Sabah, 0.84.