Sabah Catat 14,437 Kes COVID-19 Dalam Tempoh 14 Hari

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan sebanyak 1,247 kes positif baharu Covid-19 dengan 11 kes kematian hari ini.

Sepanjang tempoh 14 hari bermula 26 Julai hingga 8 Ogos, Sabah merekodkan sebanyak 14,437 kes positif Covid-19.

Kota Kinabalu mencatatkan bilangan kes terkumpul tertinggi bagi tempoh dua minggu berkenaan iaitu 3,209 kes diikuti dengan Tawau 1,671 kes dan Penampang 1,245 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hari ini, Kota Kinabalu (310), Tawau (206) dan Penampang (127) masih mencatatkan kes tiga angka manakala daerah lain mencatatkan kes dua dan satu angka.

Secara keseluruhan 770 kes atau 62 peratus daripada 1,247 kes positif hari ini dikesan melalui kontak rapat, 295 kes daripada saringan bergejala dan 87 kes daripada saringan kluster sedia ada.

Hari ini semua daerah di Sabah berubah menjadi zon merah.

Secara keseluruhan kumulatif kes di Sabah sebanyak 95,082 kes dan bilangan kumulatif kes sembuh pula sebanyak 82,571 kes.

Ketika ini seramai 4,447 orang pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,064 orang di hospital, 3,409 di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 79 di pusat tahanan sementara/penjara dan lima di fasiliti swasta.

Bilangan pesakit berada di unit rawatan rapi seramai 141 orang dan 59 memerlukan alat bantuan pernafasan.