Sabah Capai 72.7 Peratus Penduduk Divaksin

KOTA KINABALU: Proses vaksinasi di Sabah sudah mencapai 72.7 peratus atau 2.15 juta penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos dan vaksin CanSino setakat Khamis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 1.97 juta adalah penduduk dewasa dan selebihnya remaja manakala, penerima vaksin lengkap pula seramai 1.65 juta atau 61 peratus.

Bagi remaja pula, seramai 184,885 orang remaja telah menerima vaksin atau 43.4 peratus daripada jumlah penduduk remaja di negeri ini.

Semalam Sabah mencatatkan penurunan semula kes positif Covid-19 dengan 1,273 kes positif dan 43 kematian.

Semalam Kota Kinabalu kekal merekodkan kes tertinggi iaitu 203 kes, diikuti Lahad Datu 118 kes, Kota Marudu 98 kes, Sandakan 85 kes dan Keningau 81 kes.

Daripada 1,273 kes itu, sebanyak 570 kes adalah daftar lewat antara dua hingga melebihi lima hari.

Menurutnya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes di Sabah iaitu 784 kes atau 61.6 peratus, saringan bergejala 368 kes, lapan kes daripada saringan kluster, lima daripada saringan bersasar dan 108 kes melalui saringan lain-lain.