KOTA KINABALU: Tuduhan demi tuduhan dilemparkan untuk memperlihatkan ekonomi Sabah di bawah kerajaan Warisan menjunam jatuh.
Jika ekonomi Sabah merundum, bagaimana kerajaan Sabah mampu menyediakan dana RM 670 juta bagi bantuan Covid-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menuduh kerajaan Sabah tidak buat kerja semasa Covid-19.
“Kerajaan Sabah memperuntukkan RM1 juta kepada polis dan petugas kesihatan. Hampir RM10juta dibelanjakan untuk petugas barisan hadapan. Mana ada kerajaan Johor berikan anggota polis RM1 juta?
“Itupun Najib cakap, kita tidak susun ekonomi dengan baik,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Umum bersama pemimpin dan calon Warisan Plus, di Lido Square, hari ini.
Namun, itu bukan bermakna Sabah akan muflis, jadi rakyat jangan bimbang kerana pengurusan kewangan negeri ini masih baik.
Disamping itu, Mohd Shafie turut mengingatkan pengundi Sabah agar berpadu dan undilah untuk generasi akan datang.
Menerusi Bantuan Covid-19, secara keseluruhan kerajaan Warisan menyediakan RM910 juta bagi bantuan Covid-19.
Untuk fasa satu sebanyak RM670juta diperuntukkan manakala, dibawah pakej Sabah New Deal, sejumlah RM240juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan sektor ekonomi di negeri ini.