Sabah Berpotensi Jadi Pengeksport Ternakan Karang – Junz

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian & Industri Makanan akan melakukan penstrukturan bagi membangunkan lagi industri penternakan batu karang di negeri ini.

Menterinya, Datuk Junz Wong berkata, beliau akan melakukan sedikit perubahan yang perlu bagi menggalakkan dan mempermudahkan proses permohonan lesen bagi mengeksport batu karang ke pasaran global.

“Kita akan membantu pemain industri yang benar-benar ingin menceburi industri ternakan karang termasuk memudahkan permohonan lesen agar mereka dapat memperluaskan industri ini ke pasaran antarabangsa.

“Saya juga melihat Sabah mempunyai potensi yang amat baik dalam industri ini kerana Sabah amat kaya dengan sumber semulajadi,” katanya selepas melawat Pusat Ternakan Karang di EcoMarine Resources Sdn Bhd, semalam.

Menurutnya, kejayaan EcoMarine ini menanam batu karang menggunakan teknologi moden merupakan satu usaha yang baik dalam membantu memajukan industri ini.

Junz berkata, selain membantu mengekalkan ekosistem marin dan menjadi rumah kepada hidupan marin lain, batu karang juga berpotensi untuk memenuhi pasaran antarabangsa.

“Saya melihat industri ini mempunyai pasaran yang luas terutama di Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Brazil,” jelasnya.

Tambahnya, penternakan batu karang ini akan dilaksanakan secara betul dan mampan.

Katanya, lesen-lesen mengambil batu karang semulajadi telah dibekukan oleh kerajaan.

“Dahulu kerajaan BN telah mengeluarkan lesen-lesen memetik batu karang liar, sehingga ke tempat-tempat seperti Semporna dan Pulau Sipadan. Akibatnya, kerosakan berkekalan telah berlaku.

“Kemudian pada 2019, kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) telah membeku dan membatal lesen-lesen mengambil batu karang liar demi memulihra ekosistem marin,” jelasnya.

Naib Presiden Warisan ini berkata, itulah perbezaan polisi antara pentadbiran terdahulu dengan pentadbiran sekarang.

“Keperluan menjana pendapatan untuk rakyat Sabah dan merancakkan ekonomi Sabah tidak boleh dinafikan. Tapi kita harus juga bertanggungjawab menjaga ekosistem marin.

“Sabah akan meneroka pasaran ini melalui kaedah yang berbeza. Terdapat perbezaan yang besar antara pengambilan batu karang liar dan penternakan batu karang.”

“Pada zaman BN, orang boleh suka-suka memetik batu karang liar. Mudah dipetik dan dijual. Tetapi kesan terhadap ekosistem kehidupan marin dan alam sekitar berkekalan. Itu cara BN. Teruk dan tidak bertanggungjawab.

“Sekarang lain, kerajaan Sabah pimpinan Warisan akan membangunkan pusat-pusat penternakan batu karang untuk membolehkan masyarakat tempatan menjana ekonomi. Malah, ekosistem marin terus dipelihara.

“Malah kita juga membantu memulihara ekosistem kehidupan laut. Bukan sahaja terumbu karang yang musnah di Sabah boleh dipulihkan, kita juga boleh bantu memulihara ekosistem marin di negara-negara lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah kementerian itu pelbagai polisi diperkenal untuk membangunkan pusat penternakan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

“Kita telah perkenal pusat penetasan ikan, pusat penternakan ketam, kini ditambah lagi pusat ternakan batu karang.”

“Kaedah-kaedah menjana pendapatan ini lebih mampan, di samping memelihara alam sekitar yang dikurniakan kepada kita,” jelasnya.