Sabah Berhak Ketahui Pembatalan Projek Lebih Awal, Ketua Menteri

786

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerima baik keputusan Kerajaan Persekutuan pembatalan Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) namun berharap dimaklumkan lebih awal mengenai pembatalan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah jika Projek TSGP bernilai RM9.4bilion itu ditangguh mahupun dibatalkan namun, adalah lebih baik sekiranya Kerajaan Negeri dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu.

“Sekurang-kurangnya perkara sebegini dimaklumkan kepada kita kerana Sabah adalah negeri yang terlibat dalam pelaksanaan (projek) itu.

”Ini yang kita bimbang, pelaksanaannya pun kita tidak tahu, pembatalan (projek) pun kita tidak tahu…sekurang-kurangnya maklumkan kepada kita,” katanya ketika minta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai pembatalan Projek TSGP dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) baru-baru ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika ditemui semasa Tinjaun Mesra ke Bazar Ramadan Sembulan, di sini pada Ahad.

Tinjauan itu adalah julung-julung kalinya diadakan di bazar berkenaan sejak beliau memegang tampuk pemerintahan.

Pada Sabtu, Lim memaklumkan Kerajaan Pusat sedang berunding dengan kontraktor-kontraktor China mengenai jumlah pampasan berikutan pembatalan projek TSGP dan MPP.

TSGP melibatkan pembinaan paip sepanjang 662km dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau yang memerlukan kos RM4.04 bilion.

Secara keseluruhan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam pelaksanaan projek TSGP itu bernilai RM9.4 bilion.

Mohd Shafie kemudiannya berkata, Kerajaan Negeri sedar tentang keperluan pelaksanaan TSGP di Sabah kerana ia turut mewujudkan industri hiliran di kawasan sekitar termasuk di Kota Kinabalu, Sandakan mahupun Tawau.

Beliau berkata, memandangkan pelaksanaan projek itu diuruskan Kerajaan Pusat maka, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

”Namun apa yang kita tahu perbelanjaan untuk projek itu sudah dilakukan namun jumlahnya tidak diketahui kerana ia diuruskan di peringkat Pusat,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau selaku Menteri Kewangan Negeri berkata, projek TSGP itu bukan keutamaan Kerajaan Negeri.

”Keutamaan kita adalah memberi tumpuan kepada pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo agar ianya dilaksanakan secepat mungkin.

”Kita juga mahu projek pembinaan Empangan Papar, yang dahulu dicadangkan di Penampang direalisasikan. Ia bagi membolehkan Pantai Barat Sabah menampung keperluan bekalan air serta mampu menjana kuasa elektrik pada masa akan datang.

”Dalam masa yang sama, kerajaan turut menumpukan kepada projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan yang telah diumumkan sebelum ini. Saya berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan, begitu juga pembesaran Lapangan Terbang Tawau.

”Usaha menaiktaraf prasarana itu bagi memenuhi keperluan industri pelancongan yang semakin berkembang,” ujarnya.