Sabah Berdepan Kekurangan Reagen Untuk Kesan Pesakit Positif Covid-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah berdepan dengan masalah kekurangan reagen bagi membolehkan ujian makmal untuk mengesan pesakit yang positif Covid-19 dijalankan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, disebabkan kekurangan reagen, ujian di Makmal Kesihatan Kota Kinabalu agak terbatas buat masa ini.

Atas sebab itu, bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar jumlah pesakit yang positif Covid-19.

Katanya, jika dilihat semalam hanya satu kes baharu dilaporkan di Sabah, menjadikan keseluruhan 170 kes positif Covid-19.

“Hari ini, tujuh sampel positif Covid-19 dilaporkan dari Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dimana, hanya satu kes Covid-19 yang baharu, selebihnya adalah sampel ulangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, situasi kekurangan reagen ini dialami oleh semua makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Maka, JKNS sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin.

Sehingga semalam, 4,022 orang telah dikuarantin di rumah selama 14 hari sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) di Sabah. Lapan daripadanya didapati melanggar perintah kuarantin dan telah dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.